Pemandu tersepit kemalangan tiga kenderaan

Papar: Seorang pemandu tersepit selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Kampung Limau-Limauan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, pemandu kereta Perodua Myvi terbabit bagaimanapun dapat diselamat selepas berjaya dikeluarkan pasukan bomba yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.59 tengah hari.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Pemandu tersepit selepas keretanya terbabit kemalangan. Pix Ihsan Bomba 

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan melibatkan pertembungan tiga kenderaan, iaitu jenis Nissan Navara, Proton Saga FLX, dan Perodua Myvi.

“Terdapat tiga mangsa terlibat mengalami kecederaan, dua mangsa keluar sendiri dari kenderaan dan dihantar ke hospital oleh pihak Ambulan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan operasi bomba dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS.

Katanya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.52 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|