Malaysia perlu tegas tangani ancaman pencerobohan aset China

Malaysia perlu tegas tangani ancaman pencerobohan aset China

Kota Kinabalu: Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil pendekatan yang lebih tegas untuk melindungi ekonomi dan kedaulatan Malaysia di Sarawak dan Sabah daripada ancaman pencerobohan kapal peronda dan pesawat pejuang China.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata ia berikutan peningkatan kes pencerobohan aset negara kuasa besar Asia itu di Laut China Selatan yang berada dalam Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE) Malaysia.

Berikutan itu, beliau menggesa agar Wisma Putra dan Menteri Pertahanan, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusahakan segala kekuatan negara untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya percaya usaha kerajaan untuk sama-sama menumpukan kekuatan ASEAN sebagai pertahanan utama Laut China Selatan mestilah disokong dan disambut baik oleh semua pihak.

“Tambahan pula, Perdana Menteri setakat ini telah berjaya untuk menarik perhatian Amerika Syarikat agar Laut China Selatan bebas dan berkecuali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau memandang berat kerancakan China memperbesarkan usaha pencerobohan sempadan mereka di Laut China Selatan.

Jelasnya, keberadaan kapal peronda China berhampiran dengan ruang laut Sabah sangat memberikan tekanan dan menjejaskan ekonomi maritim negeri ini.

Lebih merisaukan lagi, katanya apabila kapal terbang pejuang ‘halimunan’ China, J-20 direkodkan semakin giat berlegar di ruang udara Laut China Selatan.

“Menurut laporan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), terdapat 23 pencerobohan sempadan laut oleh China pada tahun 2021 sahaja ke atas Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

“Pencerobohan seumpama ini bukan sahaja cabaran besar ke atas kedaulatan negara, bahkan turut menyentuh sumber rezeki rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya golongan nelayan.

“Aktiviti perikanan amat terganggu dengan kehadiran kapal peronda China yang menggunakan alasan latihan ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata, pencerobohan aset China mengganggu industri perikanan negara yang kini dianggarkan bernilai RM1.2 bilion membabitkan kira-kira 30,000 nelayan sekali gus boleh melumpuhkan sektor ekonomi negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, perikanan adalah sumber kehidupan nelayan yang mesti dilindungi bagi memastikan tidak timbul isu bekalan makanan membabitkan makanan laut.

“Nelayan Sarawak di kawasan Miri juga berkali-kali berdepan dengan masalah dibuli ketika menjalankan aktiviti mereka.

“Lebih mengecewakan adalah nelayan haram dari China pula mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratly.

“Perkara ini tentu sahaja mendukacitakan nelayan tempatan yang telah dinafikan sumber rezeki mereka,” katanya.

Jaziri berkata, jika dibiarkan, situasi itu juga akan melemahkan usaha untuk terus membantu dan membangunkan ekonomi nelayan di Sarawak.

Katanya, inisiatif kerajaan persekutuan yang memberikan autonomi kepada Jabatan Perikanan Sarawak untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam yang boleh menjana ekonomi perikanan tuna di kawasan lautan berkenaan mungkin tidak dapat dijayakan sepenuhnya selagi isu pencerobohan itu tidak diselesaikan.

“Realiti yang berlaku ialah apabila nelayan tempatan ‘trauma’ berdepan situasi pencerobohan di laut mereka tidak keluar mencari rezeki.

“Maka, nelayan asing mengambil peluang ini dengan menangkap ikan secara berleluasa di kawasan Malaysia sehingga negara kerugian hasil perikanan berjumlah RM4 billion setahun.

“Ini adalah kesan sampingan daripada pencerobohan maritim negara. Selain daripada ekonomi perikanan, usaha penerokaan ekonomi tenaga dan minyak juga berdepan masalah terutamanya di kawasan Kasawari di Sarawak di mana kapal peneroka minyak Malaysia berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|