Tenom: Kehadiran ramai rakyat bermula dari peringkat akar umbi hingga pimpinan tertinggi pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Tenom menyerlahkan sokongan padu kepada parti itu.
Ketua Bahagian UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, ia jelas dapat dilihat dengan kehadiran pelbagai kaum sekali gus memurnikan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
Katanya, kehadiran ribuan pengunjung itu juga jelas menunjukkan betapa rakyat tetap mahukan UMNO terus memimpin negeri ini.
“Kemeriahan yang wujud dalam majlis rumah terbuka ini menampakkan kemesraan antara pemimpin dan rakyat.
“Bagi UMNO Tenom, pimpinan kerajaan dan rakyat perlu bersatu padu sebagai pasukan yang kukuh untuk membawa pembangunan berterusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Raime yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, beliau selaku ketua pimpinan UMNO Tenom turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih terhadap sokongan diberikan Datuk Seri Bung Moktar Radin serta seluruh pimpinan UMNO negeri.
Katanya, Bung Moktar adalah seorang pemimpin yang prihatin dan sentiasa mengambil berat setiap kawasan yang dilawatinya.
“Hari ini, beliau ada memberitahu saya mengenai beberapa lokasi yang dikesan memerlukan pembangunan di daerah ini seperti air, jalan raya dan beberapa keperluan lain.
“Inilah pemimpin yang kita perlukan. Berikan kepercayaan kepada beliau dan parti ini untuk terus memimpin negeri Sabah,” katanya.
-Deasoka