Sandakan: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan menjalankan operasi memburu buaya di Sungai Seguntor, dekat Taman Kenari, Batu 7, di sini, susulan kejadian seorang lelaki disambar buaya ketika menyeberang sungai berkenaan, Jumaat lalu.
Pegawai JHL Sandakan, Hussien Muin berkata, pihaknya juga memasang perangkap buaya di sungai berkenaan.
Katanya, dalam masa sama, pihaknya turut memasang semula papan tanda amaran di kawasan itu yang sebelum ini sudah dipasang namun dipercayai hilang.
“Operasi kita teruskan sehingga Selasa ini dan kita turut memasang perangkap juga, selain membuat operasi waktu malam untuk memburu reptilia berkenaan.
“Seperti kita sedia maklum kakitangan sebenarnya sudah mengingatkan supaya tidak menggunakan rakit yang begitu kecil kerana ia tidak selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hussien berkata, sebelum ini pihaknya sudah menjalankan operasi memburu dan menangkap buaya di kawasan berkenaan.
“Dalam masa sama, kita juga sudah berkali-kali mengeluarkan amaran kepada masyarakat yang tinggal di kawasan setinggan di belakang Taman Kenari, supaya tidak menggunakan rakit jika menyeberangi sungai berkenaan.
“Untuk rekod, kes kejadian mangsa yang dibaham buaya berhampiran parit ataupun sungai berhampiran Taman Jenari itu sebenarnya bukan kes kali pertama. Parit itu adalah sambungan Sungai Seguntor, yang memang kawasan habitat buaya.
“Sebelum ini kita sudah menjalankan tiga kali operasi di kawasan berkenaan atas aduan kehadiran buaya ni oleh orang yang tinggal di kawasan berkenaan,” katanya.
Justeru itu, Hussien berkata, pihaknya sekali lagi meminta kerjasama agar masyarakat yang ada di kawasan itu supaya mematuhi nasihat yang dikeluarkan bagi mengelak kejadian tidak dingini berlaku.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa Abdul, 50, dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika cuba menyeberangi sungai menaiki rakit.
Menurut saksi kejadian, mangsa yang baru balik dari Masjid Taman Kenari cuba menyeberangi sungai berkenaan untuk balik ke rumah.
Mangsa dikatakan menggunakan rakit buatan sendiri berukuran empat meter persegi sebelum tiba-tiba disambar buaya.
-Deasoka