KKM beri penjelasan keadaan kesihatan Najib

KKM beri penjelasan keadaan kesihatan Najib

Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memberi penjelasan berhubung keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini dilaporkan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada jam 5.15 petang tadi, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dimasukkan ke HKL pada Jumaat lalu.

Noor Hisham bagaimanapun berkata, status kemasukan Najib ke hospital berkenaan adalah sebagai kes elektif atau bukan kecemasan untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

Katanya, pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

Beliau berkata, pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh Mantan Perdana Menteri dan ahli keluarga beliau.

“Keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan professional kedoktoran.

“Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL

“Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM. Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL,” katanya.

Noor Hisham berkata, KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Jelasnya, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah.

Pagi tadi, Najib dilapor mengalami kesan teruk berikutan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya dan beliau dirujuk ke Hospital Kajang, Selangor petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|