Perdana Menteri boleh datang dari Sabah, Sarawak – Jeffrey

Perdana Menteri boleh datang dari Sabah, Sarawak – Jeffrey

Kota Kinabalu: Pemimpin yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri boleh datang dari Sabah dan Sarawak, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tuntutan mengembalikan semula 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

“Saya harap begitulah sebab penambahan kerusi itu menggambarkan perkongsian dalam penubuhan Malaysia iaitu perkongsian di antara tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Walaupun kita hanya ada 35 peratus kerusi nanti, ini merupakan satu pengiktirafan bahawa tanpa Sabah dan Sarawak tidak ada Malaysia.

“Sebab itu suatu hari nanti Perdana Menteri boleh datang daripada Sabah dan Sarawak,” katanya kepada media selepas hadir pada majlis pelancaran airasia ride di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu akur jika 35 peratus itu dikembalikan kepada Sabah.

“SPR kena akur kepada aspirasi rakyat dan aspirasi politik serta dengan keadaan semasa. Sebab ini suatu jaminan dan janji bila masa kita adalah rakan kongsi dan tidak ada satupun wilayah yang boleh menguasai dua pertiga darpada kerusi Parlimen.

“Jadi sebab itu saya percaya SPR adalah suatu badan yang bijak, yang praktikal dan menerima apa yang patut. Maka saya percaya mereka akan setuju,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Khamis lalu memaklumkan isu tuntutan 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak antara yang dibincangkan dalam mesyuarat kelima MKMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|