Lelaki ditahan simpan 8 jenis hasil haiwan dilindungi

Lelaki ditahan simpan 8 jenis hasil haiwan dilindungi

Keningau: Tindakan seorang lelaki berusia 52 tahun menyimpan sejumlah lapan jenis hasil haiwan yang disyaki dilindungi mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa.

Serbuan di kediaman suspek di Kampung Tuawon Terusmadi, di sini, jam 12.40 tengah hari, Sabtu lalu dilakukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).

Antara haiwan dan hasil haiwan yang dirampas ketika operasi penggeledahan dilaksanakan di rumah suspek di Kampung Tuawon Terusmadi.

Pengarah JHL Sabah, Agustine Tuuga berkata, hasil risikan berterusan sejak sebulan lalu berjaya membawa kepada serbuan berkenaan.

Katanya, hasil penggeledahan menemui empat tapak kaki dan sembilan gigi beruang madu, sisik tenggiling, satu tengkorak burung enggang.

Enam ekor burung Serindit hidup yang turut dirampas.

“Selain itu, turut dirampas tujuh pasang tanduk rusa, tujuh batang duri landak, enam ekor burung serindit hidup dan dua ekor kura-kura hidup.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 iaitu milikan haiwan dan hasil haiwan dilindungi dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Agustine berkata, Beruang Madu dan Tenggiling adalah haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah dan menyimpan haiwan atau hasil haiwan ini tanpa kebenaran yang sah adalah satu kesalahan.

“Ia boleh disabit hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang awam bahawa jabatan ini melalui Unit Risikannya sentiasa memantau dan mengenalpasti sebarang aktiviti haram atau jenayah terhadap hidupan liar melalui media sosial.

“Saya juga terima kasih dan mengalu-alukan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan jenayah hidupan liar seperti ini agar memaklumkan kepada pihak jabatan dengan kadar segara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|