Tawau: Polis berjaya mematahkan kegiatan mencuri kabel di sekitar bandar Tawau selepas berjaya menahan dua lelaki dalam serbuan di dua lokasi di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek pertama berjaya ditahan dalam serbuan di Kampung Kijang, Merotai, yang dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, suspek yang sedang leka berehat, cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditahan pasukan operasi.
“Hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui sembilan batang getah penebat wayar kabel yang dikupas, satu gulung kecil dawai penebat serta satu gulung kecil aluminium penebat dikupas dan dibakar.

“Siasatan kemudiannya mendapati suspek mempunyai seorang lagi rakan subahat dan dengan dipandu arah, polis berjaya menahan suspek kedua di kilometer 51, Jalan Tawau – Kunak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Jasmin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan milik suspek kedua turut menemui satu plastik hitam mengandungi dua gulung kecil wayar tembaga disyaki hasil curi.

Katanya, kedua-dua suspek dan barang rampasan serta kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-Deasoka