Perkhidmatan e-hailing airasia ride kini beroperasi di Kota Kinabalu

Perkhidmatan e-hailing airasia ride kini beroperasi di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Jenama ‘airasia ride’ sebagai salah satu Platform e-hailing di negara ini mula melebarkan sayapnya secara rasmi menyediakan perkhidmatan kepada pengguna di Kota Kinabalu.

Sudah beroperasi sejak dua bulan lalu, airasia ride menyasarkan antara 3,000 hingga 5,000 pemandu e-hailing di bawah airasia ride untuk pelanggan di ibu negeri.

Jeffrey menyempurnakan pelancaran airasia ride di Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo berkata, ia adalah salah satu usaha untuk menyediakan perkhidmatan ke seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

“Pelancaran ini bukan saja dapat memberi manfaat kepada pelanggan melalui promosi hebat yang disediakan tetapi kami juga ingin mengalakkan pemandu e-hailing untuk melihat program inisiatif unik di airasia ride.

“Melalui inisiatif ini, pemandu diberi latihan yang diperlukan untuk memperoleh Lesen Kenderaan Pengangkutan (PSV), pendapatan bulanan dari RM2,000 hingga RM4,000 berserta insentif tambahan serta lain-lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran airasia ride di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang menyempurnakan pelancaran itu berharap perkhidmatan e-hailing yang dibawa airasia ride sebagai peluang untuk menambah pendapatan rakyat di negeri ini.

“Malah saya dimaklumkan airasia ride menawarkan harga yang lebih rendah iaitu 10 hingga 15 peratus daripada perkhidmatan yang lain.

“Ini juga sebagai salah satu pendapatan sampingan kepada pemandu e-hailing khususnya di Kota Kinabalu,” katanya.

Sebagai galakan kepada pengguna, airasia ride akan memberikan 10,000 perkhidmatan e-hailing percuma kepada semua pelanggannya di seluruh negara mulai sekarang sehingga 18 September ini dengan menggunakan kod promosi FREERIDE.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|