Isteri baru tiba dari luar negara disambut berita kematian suami, dua anak

Isteri baru tiba dari luar negara disambut berita kematian suami, dua anak

Kota Kinabalu: Kegembiraan seorang wanita yang sepatutnya dijemput suami dan anak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi bertukar episod sedih apabila menerima khabar duka kehilangan ketiga-tiga insan tersayang.

Jeanilee Escobar Assam, 46, yang baru tiba dari Manila, Filipina atas urusan kerja hanya mengetahui kemalangan ngeri yang menimpa keluarganya itu sebaik tiba di KKIA pada jam 3.28 pagi.

Difahamkan, Jeanilee dijadualkan tiba pada jam 12.50 di KKIA namun tertunda dan hanya terbang menaiki pesawat dari Manila ke Kota Kinabalu jam 1.38 pagi.

Sebaik tiba di KKIA, dia terus dibawa ke Jabatan Forensik HQE I Kota Kinabalu, sebelum terpaksa ditenangkan ahli keluarga lain.

Bapa saudara kepada Jimmykal Assam, Nazro Harun, 42, berkata, dia amat terkejut apabila mendapat berita kemalangan membabitkan anak saudara dan dua cucunya.

Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan pilu apabila melihat ketiga-tiga ahli keluarganya itu sudah meninggal dunia.

“Anak saudara saya bersama anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Angkasa Apartment menuju ke KKIA untuk menjemput isterinya selepas seminggu berada Filipina atas urusan kerja.

“Kami sekeluaga terkejut dan amat sedih… lagi-lagi ibunya apabila apabila bukan saja kehilangan suami malah kedua-dua anaknya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HQE I.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat permukaan jalan yang licin akibat hujan.

“Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya yang terbabas sendiri sebelum merempuh tiang jejambat berkenaan.

“Pemandu tidak disyaki mabuk, namun, sampel darah mangsa akan diambil semasa proses bedah siasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian jam 11.24 malam itu, mangsa yang terkorban iaitu Jimmykal Jaujali Assam, 44, dan dua anaknya iaitu Shazfa, 11 dan Afindy, 16.

Seorang anggota keluarga kanak-kanak lelaki berusia empat tahun parah dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|