Penubuhan GTA bawa pendekatan baharu PEJUANG Sabah

Penubuhan GTA bawa pendekatan baharu PEJUANG Sabah

Kota Kinabalu: Anjakan baharu yang dibawa Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menyatukan Melayu dan mengukuhkan Islam melalui penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) turut membawa pendekatan baharu kepada PEJUANG Sabah.

Ketua Penerangan PEJUANG Sabah, Winston@Hassnal Majuning berkata, usaha itu membawa kepada pendekatan baharu kepada PEJUANG Sabah untuk melakukan perkara yang serupa namun ada sedikit perbezaannya.

“Perbezaan itu hanya pada istilah Melayu kepada Bumiputra Sabah. Namun di sisi agama Islam tetap diangkat sebagai agenda yang serupa seperti mana yang Tun Dr Mahathir letakkan pada matlamat gagasan ini.

“Seharusnya pembaharuan ke hadapan terutama soal penyatuan bumiputera dan pendekatan agama Islam yang lebih jelas. Ini kerana pada keadaan politik kini, penyatuan bumiputera semakin tempang dan agama Islam seperti diperalatkan untuk kepentingan undi dan mendapat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, soal ketelusan untuk melihat penyatuan bumiputera dan Islam itu kepada kebaikan pentadbiran negara amat jauh.

“Hari ini perpecahan orang Melayu dan bumiputera Sabah berakar umbi pada ketuanan parti dan bukan kepada ketuanan mendaulatkan prestasi bangsa itu sendiri.

“Lihat sahaja bagaimana urus tadbir negara terus lemah disebabkan amalan ketuanan melayu atau bumiputera diangkat pada ketuanan jaguan pemenang pilihan raya bukan kepada ketuanan jaguan mengangkat bangsa melayu dan bumiputera Sabah sebagai bangsa yang berprestasi gemilang dalam segala bidang,” katanya.

Katanya lagi, menyentuh soal agama Islam, hari ini masih dimomokkan oleh pemilikan sesuatu kaum dan bukan kepada mendukung kefahaman Islam untuk seluruh umat manusia.

“Lihat saja bila disebut istilah ‘Islam itu Melayu’ dan ‘Melayu itu Islam’, begitu juga di Sabah ‘Islam itu bajau, Suluk, Brunei dan Bajau, Suluk, Brunei itu Islam’.

“Islam adalah agama rahmat seluruh alam dan kewajiban untuk menampakkan Islam berupa sedemikian adalah wajib serta pengisian amalan dalam kepimpinan terutama bidang pengurusan adalah satu keutamaan.

“Dalam konteks Sabah, asas perjuangan itu tetap mendokong dan mengutamakan perpaduan dan kebebasan beragama, agama pelbagai bangsa tetap dihormati tanpa meminggirkannya,” katanya.

Sehubungan itu, Winston berkata, PEJUANG Sabah di bawah pimpinan Ketuanya, Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah menyokong apa yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir.

“Bukan kerana jawatan beliau sebagai Pengerusi PEJUANG tetapi lebih ke arah kebenaran pada idea seorang tokoh negarawan mutakhir negara ini untuk melihat pemulihan negara, bangsa dan tanah air tercapai di masa hadapan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|