Ibu, bayi dan anak saudara maut dalam kemalangan

Ibu, bayi dan anak saudara maut dalam kemalangan

Semporna: Ibu bersama bayi perempuan berusia 10 bulan dan anak saudaranya antara yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Semporna-Tawau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dua lagi mangsa iaitu pemandu Perodua Kancil lelaki berusia 30 tahun dan adik perempuannya berusia 27 tahun cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Kancil bersama keluarganya dalam perjalanan menuju ke Kampung Salimbungan.

“Sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun juga dari laluan sama berada di belakang Perodua Kancil.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu Perodua Kancil memperlahankan kenderaan dan tiba-tiba pacuan empat roda melanggar dari arah belakang menyebabkan Perodua Kancil masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu, tiga mangsa maut termasuk seorang bayi perempuan yang berada di dalam Perodua Kancil.

“Pemandu Perodua Kancil cedera di tangan kanan serta dikedua-dua kakinya dan adik perempuannya mengalami pendarahan di kepala dan patah tangan kiri.

“Sementara itu, isteri pemandu berusia 30 tahun bersama anak yang dipangkunya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak saudara mereka iaitu lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia di Hospital Semporna,” katanya.

Mohd Farhan berkata, pemandu pacuan empat roda ditahan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|