DBKK perlu beri perhatian aspek kebersihan, keharmonian dan keselamatan -Hajiji

DBKK perlu beri perhatian aspek kebersihan, keharmonian dan keselamatan -Hajiji

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, keharmonian dan keselamatan dalam kawasan bandar raya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bandar raya yang bersih, indah dan ceria akan menarik kehadiran pelancong, sekali gus dapat memperkasakan pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan.

“Amat penting DBKK mewujudkan sebuah bandar raya yang disukai ramai, lebih bersih, harmoni dan menjadikan `KK Bandar Kesukaan Saya’ atau “My Favourite City KK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Love KK dan KK Clean-Up Day di Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini.

Yakub mewakili Hajiji menyempurnakan Program Love KK dan KK Clean-Up Day di Taman Awam Teluk Likas.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan.

Hajiji optimis, dengan sokongan dan penglibatan semua warga bandar raya, kerajaan akan dapat menambah baik dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur serta kelestarian hijau di bandar raya Kota Kinabalu.

Yakub (empat kanan) ketika menyempurnakan Program Love KK dan KK Clean-Up Day bersama barisan penganjur.

“Sudah pasti ini juga akan menyumbang kepada pencapaian Halatuju DBKK iaitu ke arah ‘Kota Kinabalu Sejahtera’,” katanya.

Program Love KK dan KK Clean Up Day adalah inisiatif DBKK untuk menggalakkan penyertaan warga bandar raya yang berbilang kaum, agama dan peringkat umur dalam aktiviti kemasyarakatan, berbakti dan memberi sumbangan kepada bandar raya Kota Kinabalu.

“Ini sejajar dengan usaha untuk membentuk dan membangunkan komuniti yang inklusif dalam persekitaran bandar raya berkualiti dan berdaya huni, memupuk semangat perpaduan dan penyertaan komuniti melalui kolaborasi yang efektif, memberi manfaat kepada masyarakat dan kumpulan sosial yang disasarkan dan membantu mencapai pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|