STB komited bangunkan pelancongan di pedalaman Sabah

STB komited bangunkan pelancongan di pedalaman Sabah

Kota Kinabalu: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berusaha keras untuk membantu membangunkan kawasan pedalaman Sabah menjadi destinasi pelancongan luar bandar yang menarik.

Menerusi unit produk STB, agensi itu baru-baru ini mengadakan sesi libat urus bersama 47 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Mukim Bingkor, Keningau untuk meneroka potensi pelancongan di kawasan masing-masing.

Program anjuran bersama Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.

Ketua Pegawai Kewangan STB, Julinus Jeffrey Jimit berkata, kawasan luar bandar seperti Bingkor mempunyai potensi besar untuk menarik orang luar mengunjungi destinasi pedalaman.

“Walaupun kita menggalakkan pelancong melawat Sabah untuk menikmati tarikan utama di negeri ini, kita juga mahu mereka menerokai kawasan luar bandar dan berinteraksi dengan komuniti setempat untuk memanfaatkan percutian mereka sepenuhnya.

“Di pihak lembaga, unit produk menyokong komuniti luar bandar dalam membuka potensi mereka secara konsisten dan mewujudkan peluang untuk mereka berkembang maju melalui pelancongan,” katanya.

Dalam sesi libat urus itu, Julinus memberikan taklimat mengenai industri pelancongan dan bagaimana masyarakat luar bandar boleh mendapat manfaat daripadanya, lebih-lebih lagi setelah sempadan antarabangsa negara dibuka semula untuk aktiviti pelancongan.

Program penglibatan komuniti itu, antara lain, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan wakil JPKK mengenai produk pelancongan yang boleh dibangunkan, khususnya pelancongan berasaskan komuniti di Bingkor.

Selain itu, mereka juga diberi taklimat mengenai kepentingan melengkapkan diri dengan kemahiran pemasaran digital untuk memasarkan produk pelancongan mereka secara efektif.

Tambah Julinus, program penglibatan seumpana ini akan diperluaskan ke Keningau dan daerah lain dalam masa terdekat untuk terus memperkasa dan mendekati seberapa banyak komuniti luar bandar yang mungkin.

Bingkor terletak kira-kira 10 kilometer dari Keningau dan majoriti penduduknya adalah dari suku kaum Dusun. Kawasan ini kaya dengan alam semula jadi, budaya, dan kraftangan yang masih belum dibangunkan.

Pada masa ini, Bingkor tidak mempunyai produk pelancongan berasaskan komuniti, tetapi pembangunan Taman Eko Bandukan sedang diusahakan dan akan diuruskan oleh komuniti setempat.

Selain itu, Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau akan bekerjasama dengan STB untuk menggunakan kod QR bagi menarik dan merekod kedatangan pengunjung ke Bingkor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|