Kota Kinabalu: Hujan atau ribut petir diramal berterusan di beberapa kawasan di Sabah sepanjang tempoh peralihan monsun hingga akhir minggu ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim, berkata sepanjang tempoh itu, ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di bahagian pantai barat dan pedalaman Sabah.
Katanya, hujan atau ribut petir di satu dua tempat pula dijangka berlaku pada sebelah pagi khususnya di Bahagian Sandakan dan Kudat sehingga Jumaat ini.
“Hujan atau ribut petir di satu dua tempat masih lagi dijangka berlaku pada sebelah pagi di Bahagian Sandakan dan Kudat sehingga 13 Mei 2022.
“Pada sebelah petang sehingga awal malam pula ribut petir dijangka berlaku terutamanya di Bahagian Pantai Barat dan Pedalaman sepanjang tempoh peralihan monsun yang akan berakhir pada pertengahan Mei 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai khususnya di Tenom dan Beaufort dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman sejak semalam.
Banjir kilat turut dilapor di beberapa lokasi di Lahad Datu, Putatan dan Papar berikutan hujan lebat berterusan di daerah terbabit.
Amirzudi berkata keadaan itu disebabkan jumlah hujan yang tinggi dengan jumlah tertinggi direkodkan Stesen Meteorologi Sandakan dengan 1,117.4 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam, semalam.
“Hujan lebat mula berlaku pada awal pagi di Bahagian Sandakan dan Kudat serta daerah Ranau. Pada sebelah petang sehingga awal malam pula hujan lebat bertumpu di Bahagian Pantai Barat, Pedalaman dan Labuan.
“Jumlah hujan tertinggi direkodkan di Stesen Meteorologi Sandakan sebanyak 1,117.4 mm, disusuli Stesen Meteorologi Labuan (85.6 mm), Kota Kinabalu (58.4 mm) dan Keningau (46.4 mm).
“Stesen meteorologi utama lain juga mencerap hujan antara 7.6 mm hingga 31.2 mm,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Jabatan Meteorologi menjangkakan Monsun Barat Daya mula melanda seluruh negara bermula 14 Mei ini hingga September depan.
Sepanjang tempoh itu, kebanyakan tempat di seluruh negara diramal kurang menerima hujan selain dijangka berlaku fenomena jerebu jika ada pembakaran terbuka tidak terkawal terutama pada Ogos hingga Oktober.
Bagaimanapun, hujan lebat dan angin kencang serta petir disebabkan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi sepanjang Monsun Barat Daya.
Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
-Deasoka