Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bakal menganjurkan Kejohanan Liga Bola Sepak Piala SAFA Antara Kelab, bermula Jun depan.
Kejohanan yang bermula di peringkat daerah itu dijangka akan membabitkan keseluruhan 192 pasukan di semua lapan zon seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Negeri (JPTN) Azman Mastar berkata, kejohanan itu akan menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai mencecah RM200,000 berserta piala pusingan dan medal.
Katanya, kejohanan akan bermula di peringkat zon mengikut daerah masing-masing sebelum juara dan naib juara bakal bertarung dalam pusingan akhir pada Julai depan.
“Semua zon ini membabitkan zon Pantai Barat (Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar), zon Pantai Barat Utara (Kudat, Pitas, Kota Marudu dan Matunggong), zon Pantai Barat Timur (Tuaran, Kota Belud, Kiulu dan Tamparuli) dan zon Pendalaman Atas (Keningau, Tenom, Nabawan dan Tambunan).
“Selain itu, empat lagi zon adalah zon Pantai Barat Selatan (Beaufort, Sipitang, Membakut, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Penyu), zon Pantai Timur Selatan (Tawau, Semporna, Kalabakan dan Kunak serta Lahad Datu) dan Pantai Timur Utara (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Libaran) serta Zon Tengah (Telupid, Ranau Dan Tongod),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Taklimat Kejohanan Liga Bola Sepak Piala SAFA Antara Kelab-Kelab 2022, yang diadakan di pejabat SAFA, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi JPTN, Lokman Sunggim dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.
Azman berkata, mana-mana kelab yang berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh berhubung terus dengan pengerusi SAFA di zon masing-masing.
Katanya, dengan adanya kerjasama semua pihak dalam menjayakan kejohanan ini, ia pasti selari dengan hala tuju dan perancangan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Penganjuran ini adalah salah satu usaha mengenalpasti pemain-pemain muda berbakat untuk diserapkan ke dalam skuad bola sepak negeri di masa akan datang.
“Kita berharap penganjuran kejohanan berprestij seperti ini akan dapat menggilap bakat pemain-pemain muda di negeri ini,” katanya.
-Deasoka