Bergelut cuba lolos

Tawau: Seorang penagih dadah bergelut dengan polis dalam usaha meloloskan diri ketika ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah di kawasan Batu Payung, di sini, semalam.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 35 tahun ditahan pada 11.15 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun segara ditahan.

“Berlaku pergelutan ketika tangkapan dan suspek berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan itu menemui satu plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah seberat 5.14 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasmin berkata, suspek bersama dadah yang dirampas dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Ujian awal saringan air kencing suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Polis terus menggiatkan usaha membanteras dadah dan kejayaan ini adalah salah satu keberhasilan penugasan polis yang dijalankan secara rutin setiap hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|