Kota Kinabalu: Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) mengorak langkah baharu dalam melaksanakan program pemerkasaan komuniti di Sabah menerusi kolaborasi dengan Yayasan Hasanah.
Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, berkata menerusi kerjasama itu mereka berharap usahawan sosial dan pemimpin akar umbi di negeri ini dapat tampil untuk menyertai program berkenaan dengan memanfaatkan inisiatif yang ditawarkan.
“SCENIC sangat berbangga dapat berkolaborasi dengan Yayasan Hasanah dan ingin menjemput para usahawan sosial dan pemimpin akar umbi untuk menyertai program pemerkasaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, SCENIC akan membantu Yayasan Hasanah mencari peserta yang berkelayakan bagi memohon geran khas disediakan yayasan berkenaan untuk melaksanakan projek sosial atau tidak berasaskan keuntungan di negeri ini.
Beliau berkata, SCENIC akan menjadi penghubung bagi memudahkan usahawan atau organisasi sosial mendapatkan geran khas Yayasan Hasanah yang dikhususkan untuk program pemerkasaan komuniti.
Sejajar dengan kerjasama itu, SCENIC dan Yayasan Hasanah hari ini mengadakan Hari Terbuka Geran Khas Hasanah 2022 di Hotel Marriott Kota Kinabalu bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang. bagi memberi peluang kepada mana-mana organisasi sosial atau badan bukan berasaskan keuntungan yang berdaftar di Sabah mendapatkan maklumat lanjut berhubung geran yang ditawarkan.
Bagi tahun ini Yayasan Hasanah menerusi kolaborasi dengan Kementerian Kewangan menawarkan geran khas berjumlah RM100 juta bagi melaksanakan projek bukan berasaskan keuntungan berkaitan pendidikan; pembangunan komuniti; alam sekitar; kesenian dan ruang awam serta pengetahuan.
Menerusi satu kenyataan, Yayasan Hasanah menjelaskan secara keseluruhannya objektif pemberian geran khas berkenaan adalah untuk mewujudkan perubahan sosio-ekonomi dan alam sekitar yang sebenar dan berkekalan di Malaysia.
Perubahan itu katanya dicapai melalui penyelesaian yang memperkasakan masyarakat, menggalakkan keterangkuman sosial dan menambah baik alam sekitar.
“Inisiatif ini akan menyokong kerja-kerja pertubuhan masyarakat sivil di lapangan ketika negara beralih ke arah fasa endemik Covid-19, melalui program yang disasarkan kepada golongan terpinggir atau terdedah, termasuk yang berada dalam Kategori 50 (B50).
“Golongan terpinggir adalah termasuk orang asal, orang tua, gelandangan, pelarian, pendatang tanpa kerakyatan dan tanpa izin, kanak-kanak berisiko, wanita dan belia serta orang kurang upaya (OKU) atau orang berkeperluan khas dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Objektif inisiatif ini akan menyokong kerja-kerja pertubuhan masyarakat sivil melalui geran untuk membina daya tahan, sama ada dalam ekosistem semula jadi dan warganya yang menghadapi pemulihan daripada Covid-19 dalam bidang Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar serta Kesenian dan Ruang Awam,” menurut Yayasan Hasanah.
Menerusi bidang pendidikan, Yayasan Hasanah menekankan usaha untuk meningkatkan kepimpinan sekolah dan memaksimumkan potensi pelajar, membina kapasiti sistem Kesihatan Mental (MH) dan meningkatkan kesedaran.
Turut ditekankan ialah usaha memberi sokongan pendidikan berterusan kepada pelajar dan guru berikutan impak yang disebabkan wabak Covid-19.
Bagi pembangunan komuniti pula, Yayasan Hasanah bersedia memberikan geran bagi projek yang menyokong dan memperkasakan komuniti melalui aktiviti peningkatan berterusan pendapatan dan kesejahteraan menggunakan model Hasanah, Pendekatan Berasaskan Komuniti (CBA).
Selain itu, katanya Yayasan Hasanah turut menyokong usaha ke arah membangun dan meningkatkan kepimpinan komuniti iaitu membangunkan pemimpin yang boleh mengatur diri dan memimpin komuniti dalam melaksanakan usaha kolektif untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Yayasan Hasanah juga menyokong usaha memperkasakan komuniti melalui program sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan memberi tumpuan kepada kesihatan mental kesan daripada wabak Covid-19,” katanya.
Melalui bidang alam sekitar, Yayasan Hasanah menawarkan program Kelestarian Perak yang memberi tumpuan kepada pemulihan, pemuliharaan dan perlindungan rangkaian ekosistem kritikal terpilih, memperkasakan program komuniti dan kerjasama dengan pihak berkepentingan.
Tidak ketinggalan, Yayasan Hasanah turut menggariskan program berkaitan penggunaan plastik yang memfokuskan kepada inisiatif bagi mengurangkan sisa plastik dalam komuniti, sekolah dan tempat kerja terpilih di seluruh negara.
Pada masa yang sama Yayasan Hasanah turut menyokong inisiatif ke arah membina dan meningkatkan usaha pemuliharaan untuk pengurusan bersama ekosistem semula jadi dan pemantauan jangka panjang biodiversiti, kesedaran dan peluang membina kapasiti untuk penyertaan belia dan komuniti dalam pemuliharaan alam sekitar, kesediaan iklim dan program kebajikan haiwan di seluruh negara.
Sementara itu, menerusi bidang seni dan ruang awam, Yayasan Hasanah menekankan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan tekstil ‘terancam’, mewujudkan platform jangkauan dan ekonomi serta hak cipta.
Untuk kriteria permohonan, tarikh dan garis panduan utama, lawati yayasanhasanah.org/hasanah-special-grant-2022
Tarikh akhir permohonan geran adalah pada 30 Jun.
-Deasoka