18 kampung dinaiki air, enam PPS dibuka

Tenom: Hujan lebat yang melanda daerah ini sejak petang semalam, mengakibatkan 18 kampung dinaiki air dan enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Setakat ini, paras air di daerah ini juga mencatatkan paras bahaya apabila mencecah ketinggian 177.40 meter setakat jam 9.30 pagi tadi.

Beberapa rumah di perkampungan daerah ini turut rosak selepas dilanda banjir.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom berkata, cuaca buruk berkenaan turut mengakibatkan paras air di Sungai Padas dan Sungai Pegalan terus meningkat.

Katanya, antara kampung terjejas adalah Kampung (Kg) Kuala Tomani, Kg Kalibatang Lama, Kg Kalamatoi, Kg Barung, Kg Saga Laut, Kg Seri Menanti, Kg Enubai dan Kg Lalandang serta Kg Ponontomon.

Antara kawasan sekolah yang terjejas akibat banjir selepas hujan lebat melanda daerah ini sejak semalam.

“Turut terjejas Kg Labut 1, Kg Pantongan Saga, Kg Pantongan Sapong, Kg Tumantalik, Kg Batu-Batu, Kg Saga Tengah, Kg Mandalon Lama, Kg Manining dan Kg Binsilon.

“Semua penduduk yang terjejas kini ditempatkan di enam PPS yang dibuka khas iaitu PPS Sk Mandalom, PPS Mandalom Lama, PPS Jinuin Jimin, PPS Dewan Kg Sindungon, PPS Rumah Kebudayaan Labut 1 dan PPS Pantungon Saga,” katanya.

Menurutnya, hasil pemantauan yang berterusan mendapati semua kampung dan jalan utama di kawasaan tanah rendah turut dinaiki air.

Oleh itu katanya, Pengerusi JPBD Tenom memutuskan untuk mengistyiharkan Bencana Banjir di Daerah Tenom bermula jam 7 pagi hari ini.

Sementara itu, jurucakap JPDB berkata, fenomena banjir itu turut menjejaskan enam sekolah di daerah berkenaan.

Katanya, antara sekolah dinaiki air adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Sapong, SK Enubai, SK Gumisi, SK Sumambu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pada serta SJKC Yuk Syn.

“Operasi pemantauan akan terus dijalankan agensi terlibat antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|