Jangan beri makanan, belai atau ganggu memerang licin – JHLS

Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mengingatkan orang ramai supaya tidak memberi makanan, membelai atau mengganggu memerang licin yang ditemui di Taman Tun Fuad, Bukit Padang, di sini.

Pengarahnya, Augustine Tuuga, berkata haiwan itu dilindungi di bawah Jadual 2, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

“Populasi memerang di Sabah setakat ini tidak diketahui namun ancaman bagi spesies ini ialah kekurangan habitat dan sumber makanan serta pemburuan haram.

“Biasanya ia dijumpai di kawasan sungai atau tasik. Haiwan ini penting sebagai penunjuk untuk habitat sungai atau tasik yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk satu video tular menunjukkan pengunjung yang melakukan aktiviti rekreasi di Taman Tun Fuad membelai dan memberi minuman kepada seekor memerang licin yang jinak.

Augustine berkata, berdasarkan rakaman video itu, haiwan yang dipaparkan ialah memerang licin.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang terserempak dengan haiwan yang ditunjukkan dalam video itu supaya tidak mengganggunya.

“Ini adalah untuk mengelakkan sebarang penularan penyakit dan untuk mengekalkan kesihatan serta kebajikan memerang tersebut.

“Disebabkan ia bersifat territorial (mempertahankan kawasan keliarannya), ia mungkin menyerang manusia. Ia mempunyai gigi taring yang tajam. Memerang licn biasanya memakan haiwan akuatik seperti ikan, ketam, katak dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi dua minit 33 saat menunjukkan haiwan itu dilihat jinak dan mendapat perhatian orang ramai.

Dalam video itu, orang ramai mengambil kesempatan memberikan minuman dan membelai haiwan terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|