Guna FB sampaikan peringatan, polis Sabah pastikan Op Selamat 18 turunkan kes jenayah dan kemalangan

Jalan raya sesak merata tempat berikutan peningkatan aliran trafik sejak beberapa hari lalu bukan perkara luar biasa setiap kali menjelang perayaan, khususnya Aidilfitri sebelum pandemik Covid-19.

Namun, kesesakan lalu lintas kali ini berbeza berbanding sebelum ini selepas dua tahun masyarakat kota tidak balik kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, turut tidak melepaskan peluang memuat naik rakaman video melalui akaun FB Polis Sabah.

Bukan setakat sesak, risiko kemalangan juga pasti meningkat berikutan peningkatan aliran trafik di semua jalan raya utama, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pemandu yang bersikap mementingkan diri, suka memecut dan memotong kenderaan secara merbahaya.

Bagi menangani situasi itu, pasukan polis tentunya memikul tugas yang lebih berat sepanjang musim perayaan ini kerana bukan saja memantau pergerakan trafik, malah bertanggungjawab membanteras jenayah di jalan raya, perumahan, bandar, kampung dan di mana saja.

Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah kali ini mengambil pendekatan lebih ‘canggih’ dalam memantau semua aspek yang menjadi tanggungjawabnya sejajar perkembangan era digital dan teknologi di hujung jari.

Berbeza sebelum ini, selain melalui media massa, pendekatan konvensional seperti sekatan jalan raya dan kempen keselamatan jalan raya, kaedah canggih dengan menggunakan media sosial Facebook banyak memudahkan kerja polis menyampaikan nasihat dan peringatan kepada masyarakat.

Paling mustahak peringatan mengenai risiko keselamatan sepanjang balik kampung perlu disampaikan tanpa jemu dalam usaha mengurangkan statistik kemalangan sepanjang musim perayaan.

Statistik sebelum ini jelas menunjukkan peningkatan kes kemalangan berikutan tiada lagi sekatan pergerakan dengan 4,011 kes dilaporkan antara Januari hingga Mac tahun ini.

Ia jelas berbeza berbanding 3,208 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 803 kes.

Begitu juga jumlah kemalangan maut dalam tempoh yang sama, iaitu sebanyak 60 kes berbanding 49 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu membabitkan kenaikan 11 kes atau 22 peratus.

Situasi ini sekali gus mencetuskan kegusaran khususnya kepada pihak berkuasa kerana kemungkinan bilangan kemalangan maut akan naik mendadak sekiranya pengguna jalan raya tidak berhati-hati ketika memandu.

Bagi memastikan orang ramai menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan bersama keluarga, Polis Sabah mengambil pendekatan bukan saja mendekati pengguna jalan raya dengan mengagihkan risalah keselamatan ketika Op Selamat 18, tetapi menggunakan media sosial FB untuk menyampaikan nasihat dan pesanan kepada orang ramai ketika bergerak pulang ke kampung.

Jika dilihat hampir semua laman FB rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah memuat naik video-video mengenai pelancaran Op Selamat 18 yang bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’.

Melalui rakaman dalam video itu, setiap Ketua Polis Daerah menerangkan objektif utama Op Selamat iaitu melancarlan pergerakan lalu lintas bagi mengurangkan kadar kemalangan maut dan kemalangan biasa.

Selain itu juga, pendekatan itu turut disasar untuk menurunkan kadar jenayah pecah rumah ke tahap paling maksimum ketika perayaan Aidilfitri tahun ini.

Apa yang menariknya, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, turut tidak melepaskan peluang memuat naik rakaman video melalui akaun FB Polis Sabah dengan menjelaskan penugasan polis Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah sepanjang Op Selamat dijalankan.

Bahkan beliau turut memberi nasihat dan pesanan kepada orang ramai yang bergerak pulang ke kampung halaman sempena menyambut perayaan Aidilfitri supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu.

Bersabar apabila menghadapi kesesakan serta pastikan mempunyai rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.

Mengakhiri pesanannya, beliau turut menasihati orang ramai yang meninggalkan rumah kediaman di bandar-bandar untuk pulang berhari raya di kampung supaya memastikan mereka memaklumkan jiran tetangga serta balai polis berhampiran untuk membolehkan pihak polis memberikan respon melaksanakan rondaan.

Melihat keprihatinan pihak polis ini, orang ramai terutama pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga emosi serta etika ketika memandu sebagai langkah memastikan pemanduan dalam keadaan selesa dan selamat sepanjang perjalanan.

Buanglah sikap mementingkan diri, tidak pedulikan hak dan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan membawa kenderaan secara berbahaya menyebabkan pengguna lain berasa tidak selesa selain tidak selamat.

Ubahlah sikap supaya kita boleh menjadi pemandu yang berhemah, bertolak ansur dan menghormati orang lain ketika berada di atas jalan raya.

Perayaan yang sewajarnya disambut dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan bersama keluarga akan bertukar menjadi mimpi ngeri jika berlaku kemalangan, jadi jangan biarkan ahli keluarga menangisi kepulangan kita.

Marilah sama-sama mengawal emosi dan nafsu serta buanglah ego ketika berada di atas jalan raya supaya sama-sama dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kemalangan dan kita selamat sampai ke destinasi selaras tema Op Selamat 18 ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’.

Raikanlah Aidilfitri kali ini bersama keluarga tersayang dengan air mata kegembiraan dan bukannya dengan tangisan pilu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|