Kota Kinabalu: Pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak memotong barisan atau meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan yang dikenalpasti menjadi punca kesesakan lalulintas khususnya di ibu negeri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya percaya, suasana menjelang perayaan menjadikan orang ramai mengambil kesempatan di saat akhir untuk ke pusat beli belah.
Bagaimanapun katanya, ia menyebabkan kebanyakkan lokasi di ibu negeri menjadi tumpuan dan sesak dengan pergerakan banyak kenderaan.
“Justeru, bermula 29 April hingga 8 Mei depan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan melaksanakan Ops Selamat 18 di 18-kawasan ‘hotspots’ sekitar bandar raya.
“Keadaan berkenaan akan ditambah lagi dengan pergerakan pulang ke kampung yang dijangka bermula 3 Mei ini sebelum kembali semula ke pusat bandar raya pada sekitar penghujung minggu hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa pelancaran Ops Selamat Peringkat IPD Kota Kinabalu di Jalan Kampung Meruntum, Jalan Putatan-Lok Kawi, semalam.
Pelancaran berkenaan turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Mohd Zaidi berkata, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya kekal berhemah semasa dalam pemanduan.
Katanya, mengikut rekod sehingga semalam, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini l, pihaknya mencatatkan sebanyak 1,185 kes dengan sembilan kes kemalangan maut.
Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan masing-masing dengan mendapatkan informasi terkini mengenai keadaan lalulintas.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi hotline IPD Kota Kinabalu melalui talian 088-221191 ataupun menghubungi balai polis berhampiran.
“IPD Kota Kinabalu juga akan memantapkan lagi operasi pencegahan jenayah (OBCJ) yang dilaksanakan sejak 2 bulan lalu dalam usaha menangani kes pecah rumah dan curi sekitar Kota Kinabalu terutama dalam musim perayaan.
“Kami akan mengatur gerak anggota balai, kenderaan peronda MPV, unit rondaan motosikal (URB), serta rondaan BIT untuk rondaan serta pemeriksaan berkualiti, siang dan malam terutama di kawasan premis yang ditinggalkan dan kawasan berisiko,”’katanya.
-Deasoka