Keningau: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau melancarkan OP Selamat 18/2022 bagi memfokuskan dua objektif utama iaitu pencegahan jenayah pecah rumah dan usaha meminimumkan kadar kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, operasi yang dilaksanakan bermula 29 April hingga 8 Mei depan itu mengekalkan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.
Katanya, bagi meningkatkan keberkesanan OP Selamat kali ini, IPD Keningau berkolaberasi bersama beberapa jabatan dan agensi penguatkuasa.
“Antara rakan kerjasama adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia(JPAM).
“Sepanjang tempoh operasi, semua elemen Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Bit akan digerakkan secara hoslistik dan sistematik,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Nor Rafidah berkata, selain itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah juga akan turut melaksanakan OP Lancar.
Katanya, ia bagi memastikan kelancaran aliran trafik di laluan atau jalan-jalan utama yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, Nor Rafidah berkata, pemilik rumah yang meninggalkan rumah sempena musim perayaan ini disarankan mengisi borang balik kampung.
Katanya, ia boleh diperolehi di mana-mana balai polis berdekatan atau memaklumkan PDRM melalui Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
-Deasoka