PRU-15: GRS-BN perlu bincang agihan kerusi Parlimen

Tawau: Kerusi Parlimen yang akan ditandingi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) perlu dibincang secara terperinci bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia berikutan kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, baru-baru ini mengenai semua kerusi tradisi BN dan UMNO yang ditandingi pada PRU-14 menjadi milik UMNO.

Nizam mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Tawau.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata itu perlu dibincangkan demi menjaga kerjasama yang baik dan kepentingan rakyat.

“Pada pandangan saya semua parti pun berhak memberikan pendapat dan pandangan mereka kerana negara kita mengamalkan demokrasi dan masing- masing mempunyai pandangan serta pendapat.

“Namun, akhirnya apa juga keputusan, ia mestilah keputusan yang diambil setelah kita bersama-sama berbincang dan berunding, jadi saya yakin apa jua keputusan memberi kebaikan kepada rakyat di akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan juadah berbuka puasa, bubur lambuk di Batu Tiga Jalan Apas, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, berkata sesiapapun yang diletakkan sebagai calon oleh pimpinan tertinggi Sabah untuk bertanding pada PRU-15 perlu dihormati dan diberi sokongan.

“Kita sebenarnya adalah sebuah parti yang bekerja untuk rakyat, soal siapa yang akan dipilih untuk menjadi calon Ahli Parlimen itu kita serahkan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan yang ada di negeri Sabah.

“Kalau di Sabah ini kita adalah kerajaan GRS-BN, jadi sesiapa sahaja yang diputuskan untuk menjadi calon di kawasan Parlimen Tawau, maka kita akan memberikan sokongan untuk mewakili GRS-BN,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|