SANDAKAN: Peningkatan kes malaria monyet di Sabah kini menimbulkan kebimbangan, dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi amaran supaya situasi itu tidak dipandang ringan.
Kawasan seperti Tawau, Ranau dan Kudat dikenal pasti antara penyumbang utama kes yang direkodkan, susulan faktor persekitaran dan interaksi manusia dengan habitat hidupan liar yang semakin ketara.
Menurut beliau, sebanyak 357 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-16, sekali gus mencerminkan ancaman berterusan penyakit zoonotik berkenaan di negeri yang mempunyai liputan hutan luas seperti Sabah.
Dr Dzulkefly menegaskan kepentingan pendekatan “One Health”, iaitu kerjasama menyeluruh antara pelbagai agensi termasuk jabatan hidupan liar, veterinar dan perhutanan bagi membendung penularan penyakit tersebut secara berkesan.
“Pencegahan memerlukan penglibatan semua pihak, bukan hanya sektor kesihatan, kerana faktor persekitaran dan aktiviti manusia turut memainkan peranan besar dalam penularan jangkitan,” katanya.
Jangkitan malaria monyet berlaku apabila manusia digigit nyamuk yang membawa parasit daripada monyet. Risiko jangkitan lebih tinggi dalam kalangan individu yang bekerja berhampiran kawasan hutan atau ladang.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut menekankan kepentingan pengurusan persekitaran secara lestari bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
“Mustahak juga untuk kita tahu monyet itu datang menyerang sebab kita telah mengambil habitat mereka. Jadi pengurusan persekitaran lestari adalah sangat penting. Kurangkan interaksi manusia, khususnya yang bekerja dalam situasi sebegitu dengan monyet. Pembukaan kawasan hutan yang terkawal untuk habitat monyet perlu juga penting untuk kita wujudkan kewajarannya, sebab kita ganas kepada mereka, mereka kembali mengganas kepada kita dari segi zoonotik transmisi ini. Pengurusan sampah juga adalah mustahak sebab monyet tertarik dengan sampah,” katanya.
Beliau berkata langkah seperti pengurusan sisa domestik yang lebih baik, kawalan pembukaan hutan serta pengurangan interaksi manusia dan monyet perlu diberi perhatian serius.
Kerjasama berterusan antara agensi serta peningkatan kesedaran awam amat penting bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
