KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin bahawa sektor pelancongan Negeri akan terus berdaya tahan meskipun berdepan cabaran susulan konflik semasa di Timur Tengah.
Beliau berkata, tidak dinafikan banyak perniagaan perlu mengambil tindakan berani dan tegas untuk menangani ketidakpastian yang bakal datang akibat konflik tersebut.
“Krisis ini akan mengubah secara asas cara kita beroperasi. Setiap sektor akan terkesan, yang bermakna kita mesti menyesuaikan diri dan berinovasi dalam amalan perniagaan kita.
“Namun, masa depan tetap cerah. Walaupun terdapat cabaran ini, saya berasa gembira melihat keyakinan pelabur yang kukuh terhadap sektor pelancongan Sabah,” katanya pada majlis perasmian rasmi Sheraton Kota Kinabalu di sini pada Isnin.
Hajiji berkata, sebagai respons kepada cabaran industri yang muncul susulan konflik Timur Tengah, Kementerian Pelancongan Sabah secara proaktif menyusun semula strategi bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi utama, berdaya tahan dan menarik di peringkat global kepada pelancong dari seluruh dunia.
Bagi memastikan pengalaman pelawat yang lancar, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan keupayaan Sabah untuk bersaing melalui pelbagai inisiatif strategik.
Katanya, inisiatif tersebut termasuk menjalin kerjasamam dengan syarikat penerbangan global bagi meningkatkan jaringan perhubungan, membangunkan produk pelancongan premium, meningkatkan standard perkhidmatan ke aras antarabangsa, serta menganjurkan acara bernilai tinggi.
“Melalui usaha ini, kita akan meletakkan Sabah sebagai destinasi percutian utama dan juga hab perniagaan yang dinamik,” katanya.
Hajiji turut gembira bahawa selain Sheraton Kota Kinabalu, beberapa hotel lain berada pada pelbagai peringkat pembinaan, termasuk Avani dan Fairfield by Marriott, Grandis di The Peninsula, Kota Kinabalu, Club Med di Kuala Penyu, InterContinental di Papar, dan Wyndham di Semporna, antara lain.
“Pembangunan ini akan menambah sebanyak 2,740 bilik kepada jumlah inventori sedia ada, sekali gus membuktikan daya tahan dan keyakinan rakan kongsi industri kita walaupun dalam keadaan tidak menentu,” katanya.
Hajiji berkata impak ekonomi daripada pembangunan hotel-hotel ini tidak boleh dipandang ringan.
“Kita menjangkakan ratusan peluang pekerjaan, bukan sahaja dalam hotel itu sendiri, tetapi juga merentasi rantaian bekalan, perkhidmatan dan perniagaan berkaitan.
Pembekal tempatan, restoran dan tarikan pelancongan akan mendapat manfaat yang besar.
“Selain manfaat ekonomi, pembangunan hotel baharu ini akan meningkatkan profil Sabah sebagai destinasi utama.
Ia akan menarik persidangan, acara korporat serta pelancong yang ingin menikmati yang terbaik kita tawarkan, sekali gus mengukuhkan ekonomi kita melalui hasil pelancongan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata pembukaan Sheraton Kota Kinabalu yang menelan kos lebih daripada RM300 juta menandakan satu pencapaian penting Ketika Sabah ingin memanfaatkan peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Momentum ini kini akan diteruskan hingga ke penghujung tahun 2027 dan menjadi pemangkin kepada persiapan berterusan Sabah bagi Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.
Beliau yakin Sheraton Kota Kinabalu akan memainkan peranannya dalam menyerlahkan budaya, warisan dan layanan mesra Sabah.
“Ia juga menyampaikan mesej yang jelas dan yakin bahawa Sabah terbuka untuk perniagaan serta bersedia bersaing di pentas global,katanya.
