EVC integrasikan pengeluaran sektor huluan dan hiliran industri perkayuan – Hajiji

EVC integrasikan pengeluaran sektor huluan dan hiliran industri perkayuan – Hajiji

Keningau: Pemain industri perkayuan di Sabah digesa mentransformasikan industri itu dengan mengguna pakai konsep Rantaian Nilai Ekonomi (EVC) yang mengintegrasikan sektor pengeluaran huluan dan hiliran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata konsep itu menggantikan kaedah sebelum ini yang mana pemprosesan perkayuan huluan dilakukan secara berasingan dan menghasilkan produk yang tidak sepadan dengan permintaan hiliran.

Hajiji melihat semaian pokok selepas melancarkan Sapulut Plantation Nursery di Sapulut.

“Dengan konsep EVC, barisan pengeluaran ini akan bersepadu dan meningkatkan produktiviti pada skala yang lebih besar,” katanya ketika lawatan
kerja ke Jawala Plantation Industries Sdn Bhd dan Sapulut Forest Development Sdn Bhd di Hutan Simpan Sapulut, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan; Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah, Tan Sri David Chu; Pengerusi Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, Tan Sri Majid Khan dan Pengarah Urusan Sapulut Forest Development Sdn Bhd, Norman Wong. Tamat

Hajiji berkata ia adalah lawatan kerja pertamanya ke kawasan konsesi SFMLA sejak beliau menjadi Ketua Menteri untuk melihat kemajuan fizikal inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor perhutanan iaitu Transformasi Ladang Hutan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036) yang dilancarkan pada 22 Mac lalu.

Melalui Pelan Tindakan itu, katanya kerajaan negeri menyasarkan untuk membangunkan 400,000 hektar ladang hutan dalam kawasan Hutan Simpan Komersial menjelang 2036.

Katanya, strategi pembangunan ladang hutan itu adalah untuk mengurangkan kebergantungan sektor industri perkayuan hiliran daripada sumber bekalan bahan mentah keluaran hutan asli dan dalam masa sama mengekalkan daya saing sektor berkenaan pada masa hadapan.

Beliau berkata antara enam hingga lapan juta meter padu bekalan balak dijangka diperolehi melalui penuaian 40,000 hektar ladang hutan setiap tahun.

“Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan mampan kepada industri perkayuan dan berpotensi menyumbang kira-kira RM11.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah, menyediakan 40,000 pekerjaan, dan
mengembangkan lagi sektor pemprosesan kayu,” katanya.

Hajiji berkata, statistik Jabatan Perhutanan Sabah menunjukkan bahawa sejumlah 165,198 hektar ladang hutan telah dibangunkan oleh pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) di Hutan Simpan Komersial.

Katanya, ia menunjukkan kemajuan 41.3 peratus daripada sasaran 400,000 hektar di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan.

Jawala Plantation Industries Sdn Bhd telah berjaya membangunkan kira-kira 2,237 hektar atau 21.7 peratus daripada 10,294 hektar yang dizonkan sebagai ladang hutan sejak 2018 manakala Sapulut Forest Development Sdn Bhd telah membangunkan 20,969 hektar atau 95 peratus daripada 21,970 hektar sejak 2007.

Hajiji memuji kedua-dua ladang berkenaan atas kemajuan yang baik dan berharap syarikat konsesi SFMLA lain yang diamanahkan untuk membangunkan ladang hutan di Sabah akan mencontohi kejayaan mereka.

“Saya percaya program pembangunan ladang hutan mampu melonjakkan tahap sosio ekonomi masyarakat setempat melalui ketersediaan peluang pekerjaan dan kemudahan yang lebih baik untuk semua pekerja.

“Saya juga ingin menggesa pemegang konsesi supaya mengambil berat tentang perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan aspirasi kerajaan negeri agar pengurusan hutan diurus secara mampan dan mengurangkan kesan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Hajiji turut menyatakan bahawa program perladangan hutan telah menyumbang secara langsung kepada Program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok yang mana Sabah menyasarkan untuk menanam 40 juta pokok menjelang 2025.

Sehingga kini, katanya 7.5 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri dengan penglibatan syarikat konsesi SFMLA, agensi kerajaan, sektor swasta, murid sekolah dan orang ramai.

Sempena lawatan kerja Hajiji ke Hutan Simpan Sapulut, sebanyak 1,000 pokok lagi telah ditanam.

Di Sapulut Forest Development Sdn Bhd, Hajiji turut mengisytiharkan membuka tapak semaian syarikat yang menyokong program penanaman pokok satu juta setahun dan yang akan menjadi sumber input untuk EVC.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|