Mohd Nazri nafi terima bayaran elaun tinggi dari NAFAS

Mohd Nazri nafi terima bayaran elaun tinggi dari NAFAS

KOTA KINABALU: Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Mohd Nazri Abdullah menafikan menerima bayaran pelbagai elaun khas yang tinggi seperti yang didakwa oleh portal berita, baru-baru ini.

Katanya, sebagai AJP NAFAS beliau memang ada menerima elaun yang dibayar kepada setiap AJP apabila menghadiri mesyuarat di NAFAS.

“Saya mengakui ada menerima bayaran elaun mesyuarat. namun bukan begitu banyak jumlahnya seperti yang didakwa.

“Tuduhan terhadap AJP NAFAS itu adalah tidak berasas dan sengaja direka bagi menjejaskan nama baik AJP NAFAS”, katanya.

Mohd Nazri juga tidak ada halangan dan bersedia memberikan kerjasama kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang untuk memeriksa setiap sen duit yang di terimanya untuk membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri pelancaran program promosi dan publisiti bagi Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) edisi tahun 2022 di Tamu Gaya, Jalan Gaya, semalam.

Program itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, yang berjumpa sendiri dengan golongan sasar bagi mempromosi MAHA 2022. Yang di hadiri bersama Datuk Azulita Salim Ketua Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP)

Menurut Ronald, MAHA 2022 merupakan pameran pertanian terbesar dan berprestij yang akan menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi-inovasi tempatan dan luar negara, strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta lain-lain pendekatan yang mampu membantu sektor agromakanan keseluruhannya.

Bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan” atau “Food Security for the Future”, MAHA 2022 yang diadakan secara dwi-tahunan ini walaupun secara khusus adalah mengenai pertanian, hortikultur dan agro-pelancongan, ianya telah berkembang sehingga menjadi sebahagian dari landskap negara yang mempamerkan kemajuan serta pencapaian Malaysia.

MAHA 2022 juga memberi penekanan kepada acara perdagangan dan perniagaan bagi menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat swasta dalam dan luar negara. Bagi mengimbangi daya tarikan pengunjung, MAHA 2022 akan diselitkan dengan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) melalui aktiviti pameran hasil dan produk pertanian oleh peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani.

MAHA 2022 dijangka akan menarik seramai 100,000 orang pengunjung sehari secara purata dengan jangkaan sasaran lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan termasuk padanan perniagaan.

caption:

Datuk Dr Ronald Kiandee melancarkan Street Attack MAHA 2022 Zon Sabah di Kota Kinabalu, turut kelihatan Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Datuk Azulita Salim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|