Penampang: Enam rumah jenis tidak kekal di Kampung Koidupan, Jalan Mogonibung, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 3.39 petang.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Kota Kinabalu dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menganggarkan sebanyak enam rumah terbakar 100 peratus dan usaha memadamkan api kebakaran masih dijalankan.
“Setakat ini, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, api dilaporkan berjaya dikawal pada jam 4.29 petang dan operasi pemadaman masih dijalankan.
Katanya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka