Sabah belum sedia buka sempadan untuk pelancong asing

Sabah belum sedia buka sempadan untuk pelancong asing

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah belum bersedia membenarkan pintu sempadan dibuka untuk menerima kedatangan pelancong dari luar negara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan perlu meneliti pelbagai aspek sebelum membenarkan pintu sempadan dibuka kepada pelancong asing.

Beliau menyedari ada permintaan beberapa pihak supaya kerajaan membuka pintu sempadan untuk kemasukan pelancong asing terutama dari China.

“Saya tahu keghairahan beberapa orang meminta supaya sempadan dibenarkan kerana mereka kekeringan pelancong terutama dari China tetapi sebelum kita mengeluh saya juga mahu mereka memikirkan bahawa di China sendiri pun mempraktikkan pendekatan yang lebih ketat berbanding negara lain.

“Rakyat mereka sendiri pun tidak dibenarkan keluar, rakyat mereka sendiri dikurung dalam provinsi tertentu jadi kalau kita membuka sempadan kita, adakah jaminan rakyat mereka datang ke negara kita. Ini yang kita perlu pertimbangkan dengan teliti,” katanya kepada media di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berharap supaya pihak yang meminta sempadan dibuka dapat melihat secara bijak mengenai perkara itu kerana ia bukan membabitkan sektor pelancongan saja tetapi turut melibatkan kesihatan sejagat.

“Jangan disebabkan keghairahan kita untuk mendapatkan pelancong dari negara tertentu, kita membuka risiko yang lebih tinggi terhadap jangkitan kepada rakyat Sabah.

“Kita akan kelihatan janggal di kalangan dunia ini, kita memandai-mandai buka sesuatu di mana negara lain belum bersedia. Saya menyeru mereka supaya bersabar walaupun saya tahu ini akan membuatkan sektor pelancongan kita parah,” katanya.

Sehubungan itu, Masidi mencadangkan supaya pemain industri fokus kepada pelancongan tempatan memandangkan statistik ketibaan pelancong di Sabah sebelum ini menunjukkan seramai 2.7 juta pelawat adalah pelancong domestik.

“Sementara kita menunggu pembukaan semula sempadan, kenapa tidak kita fokus kepada pelancong tempatan. Bayangkan dengan hanya 30 peratus daripada 2.7 juta pelancong yang datang ke Sabah, dengan keadaan sekarang kita akan bercakap mengenai seramai 881,000 orang dan itu sudah cukup ramai.

“Mengikut kiraan kita ia akan menjana pendapatan hingga RM2 bilion kepada sektor pelancongan dalam tempoh setahun. Jadi sementara tunggu padi masak, kita berjagung-jagung dahulu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|