Jangan terbawa-bawa dakyah palsu musuh politik – Rosnah

Jangan terbawa-bawa dakyah palsu musuh politik – Rosnah

Kuala Lumpur: Pemimpin dan ahli UMNO diseru supaya tidak terbawa-bawa atau terpengaruh terhadap cetusan dakyah politik dan cerita palsu yang dibawa musuh politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sebaliknya berkata pemimpin dan ahli parti itu harus berjiwa besar dalam memainkan peranan memperjuangkan UMNO.

Beliau berkata, pengalaman yang lalu sewajarnya menjadi sandaran dan kekuatan kepada ahli UMNO dalam menghadapi segala bentuk cabaran.

“Saya melihat perkara ini tidak akan dapat dicetuskan sekiranya ahli UMNO memainkan peranan sebagai pemimpin dan tidak terbawa-bawa dengan dakyah ataupun sikap sesetengah pemimpin di luar sana yang bukannya dalam kalangan ahli UMNO.

“Yang penting adalah kesatuan parti UMNO. Rumah kita yang perlu didahulukan dalam apa saja tindakan dan jika rumah dijaga dengan baik siapa pun waima mereka yang berada di samping tidak akan mampu untuk menggugat kestabilan dan kesatuan parti kita,” katanya ketika dipetik menerusi laporan portal UMNO Online.

Jelasnya lagi, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini berada dalam kerajaan dan perlu membuat tindakan serta keputusan demi kepentingan rakyat.

“Kita berada di landasan yang betul, kita kembali menerajui kerajaan dan ini seharusnya menjadikan sandaran untuk terus bersatu hati dalam kalangan pemimpin parti sendiri dan juga kerajaan.

“Kita perlu ada kebersamaan dalam membuat keputusan serta melihat permasalahan rakyat.

“Kalau ini dapat dikekalkan hingga menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang sudah tentu UMNO akan kembali meneraju kepimpinan negara dengan lebih bergaya dibandingkan dengan apa yang berlaku sekarang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|