Rumah sewa dijadikan stor minuman keras tidak bercukai diserbu

Rumah sewa dijadikan stor minuman keras tidak bercukai diserbu

Kota Kinabalu: Tindakan licik penyeludup menjadikan rumah sewa di sebuah taman perumahan di Manggatal, di sini, sebagai stor simpanan minuman keras tidak bercukai terbongkar apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira jam 1 pagi oleh PPM Kota Kinabalu itu menemui beberapa kotak minuman keras bernilai hampir RM100,000.

Anggota PPM Kota Kinabalu menunjukkan minuman keras tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah sewa di taman perumahan Manggatal, Kota Kinabalu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Roslan Awang berkata, pihaknya membuat pemerhatian terhadap sebuah rumah sewa di taman perumahan berkenaan beberapa jam.

“Selepas intipan dijalankan dan masih tiada sebarang individu kelihatan, pasukan serbuan bertindak membuka pintu rumah berkenaan.

Minuman keras tidak bercukai dirampas PPM Kota Kinabalu di sebuah rumah sewa di taman perumahan Manggatal.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui minuman keras tidak bercukai di dalam rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua minuman keras itu dirampas dan dianggarkan bernilai hampir RM100,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

“Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 0139391197,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|