Kontraktor tampil beri penjelasan isu pekerja warga China tidak dibayar gaji

Kontraktor tampil beri penjelasan isu pekerja warga China tidak dibayar gaji

Kota Kinabalu: Kontraktor pembinaan yang didakwa gagal membayar gaji pekerja asing warga China sehingga terpaksa berarak ke pejabat Konsulat General Republik Rakyat China di Kota Kinabalu untuk mengadu semalam, hari ini tampil memberi penjelasan mengenai situasi sebenar yang berlaku.

Syarikat kontraktor dari China projek kondominium mewah Coral Bay di ibu negeri itu, NTSJ Construction (M) Sdn Bhd menjelaskan ia tidak berniat untuk melambatkan pembayaran gaji bagi bulan November kepada pekerja pembinaan warga China terbabit.

Jurucakapnya, Ma Jianguo, berkata kelewatan pembayaran itu disebabkan masalah sistem yang bertanggungjawab membayar gaji dalam mata wang Renminbi kepada pekerja warga China, namun isu itu sudah diselesaikan.

Katanya, NTSJ Construction memulakan pembinaan Coral Bay sejak November 2018 dan sepatutnya menyiapkan projek berkenaan pada Disember 2021.

Bagaimanapun, katanya kerja pembinaan tergendala disebabkan pandemik Covid-19 dan tarikh penyiapan dilanjutkan sehingga 2023.

Jelasnya, bagi projek Coral Bay, syarikat berkenaan menggaji 263 pekerja pembinaan, termasuk 102 pekerja warga Indonesia dan 152 pekerja warga China.

“Kita terpaksa meneruskan kerja ketika pandemik dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan Malaysia untuk memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Ketika ini, katanya projek berkenaan sudah mencapai 60 peratus tahap penyiapan.

Beliau menambah, pemaju Coral Bay sentiasa membuat bayaran kepada syarikat mengikut masa ditetapkan.

“Kami berusaha untuk mengatasi pelbagai halangan sepanjang tempoh pandemik bagi mengelak kelewatan serius terhadap projek ini dan memastikan kita dapat menyerahkan projek kepada pemaju secepat yang mungkin.

“Kami juga berharap pembeli dapat berpindah ke rumah impian mereka seawal yang mungkin.

“Terima kasih juga atas sokongan dan bantuan ibu pejabat kami di China, membolehkan kami melaksanakan kerja di tapak pembinaan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Ma menjelaskan, pihak syarikat tidak melewatkan pembayaran gaji kepada pekerja warga China.

Jelasnya, insiden semalam (Selasa), merujuk kepada sekumpulan pekerja warga China berkumpul di Pejabat Konsulat General Republik Rakyat China di Kota Kinabalu untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan bayaran gaji adalah disebabkan kelewatan sistem pembayaran gaji.

Ma berkata, beliau memahami pekerja memerlukan wang untuk dikirim kepada keluarga untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau juga berterima kasih kepada Konsulat Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan pihak polis atas bantuan dan tindakan bagi memudahkan perkara itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|