Kerajaan komited jadikan Sabah pilihan pelabur hartanah

Kerajaan komited jadikan Sabah pilihan pelabur hartanah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited untuk menjadikan Sabah sebagai pilihan berdaya maju untuk pelaburan hartanah dan destinasi menarik kepada pelancong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sejajar dengan komitmen itu, kerajaan negeri menyokong peranan utama sektor swasta dalam membangunkan pasaran hartanah.

Pengarah Urusan yang juga CEO SBC Corporation, Datuk Sia Teong Heng memberi penerangan kepada Hajiji mengenai projek Jesselton Quay.

“Inisiatif disokong pihak swasta ini akan mendorong lagi momentum ekonomi dalam industri hartanah, meningkatkan aliran pelaburan, kepelbagaian ekonomi secara keseluruhan, mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas dan limpahan ekonomi yang lain,” katanya pada Majlis Lighting-Up Jesselton Quay Central (JQC) di sini, malam ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata seperti yang digariskan dalam agenda pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), strategi ekonomi Sabah adalah untuk mengukuhkan kelompok ekonomi utama.

Hajiji menyempurnakan majlis menyalakan lampu bangunan Jesselton Quay Central di SICC.

“Sektor hartanah adalah komponen utama dalam agenda transformasi ekonomi ini, sebahagiannya kerana rekod prestasi yang terbukti dalam membangunkan rangkaian sumber manusia dan dalam pusingan rantaian perbekalan,” katanya.

Dalam hal itu, katanya projek JQC yang dilaksanakan menerusi usaha sama di antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Suria Capital Holdings Berhad dan SBC Corporation Berhad akan menambah satu lagi transformasi kepada landskap bandar raya ini.

“Projek pembangunan bercampur ini terletak secara strategik di kawasan dermaga bandar yang sedang dibangunkan menjadi pusat dengan kemudahan bertaraf antarabangsa, berlatarbelakangkan tepi laut yang indah, dan matahari terbenam yang menakjubkan.

“Pelan Induk Jesselton Waterfront City, yang mana Jesselton Quay Central dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) adalah bahagian penting dan pembangunan yang berterusan di lokasi ini adalah petanda baik untuk pembangunan hartanah yang berkualiti.

“Apabila siap sepenuhnya, kita dengan bangganya boleh mengatakan bahawa pembangunan infrastruktur di sini dan kebangkitan bahagian lama bandar raya telah membuahkan hasil,” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata Jesselton Quay dan One Jesselton Waterfront, serta pelengkap pembangunan di sekitarnya akan mengubah kawasan dermaga Kota Kinabalu menjadi satu destinasi yang berwajah baharu di kawasan bandar raya.

“Pelan yang dicadangkan untuk membangunkan terminal pelayaran antarabangsa sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang bagi meletakkan Kota Kinabalu sebagai terminal pelabuhan serantau dan antarabangsa kini terlaksana,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada fasa pertama projek pembangunan bercampur Jesselton Quay, JQC dibina terletak di kawasan seluas 16.25 ekar di Pelabuhan Kota Kinabalu dan akan berfungsi sebagai lanjutan daripada pusat perniagaan bandar raya Kota Kinabalu.

Sijil Layak Menduduki (OC) dijangka diperoleh pada suku pertama tahun ini untuk JQC yang terdiri daripada dua menara suite komersial 25 tingkat, satu menara i-hotel 25 tingkat, Gallery Shoppes dan kelab rekreasi bertemakan tropika di podium atas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|