Empat warga asing disyaki edar dadah ditahan

Empat warga asing disyaki edar dadah ditahan

Keningau: Usaha berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah sekali lagi berhasil dengan penahanan empat lelaki disyaki pengedar dadah, hari ini.

Semua lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan jam 5.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Keningau di sebuah rumah tidak bernombor di Nabawan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, hasil siasatan awal, pihaknya mengesan kegiatan semua suspek dengan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, ketika ditahan, polis merampas satu paket plastik berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 50.48 gram.

“Semua suspek dibawa ke IPD Keningau untuk tindakan selanjutnya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati tiga daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, kejayaan tangkapan itu adalah usaha berterusan pihaknya mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Kita meminta kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah kepada IPD Keningau atau balai polis berdekatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|