Program Transisi Tahun Satu bantu perubahan diri

Program Transisi Tahun Satu bantu perubahan diri

Labuan: Seramai 186 murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu, di sini, mengikuti program Transisi Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2022/2023.

Program yang dijalankan selama empat minggu bermula pada 21 Mac lalu hingga 15 April ini membabitkan 175 murid aliran perdana dan 11 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Ia dikendalikan Guru Penyelaras Aliran Perdana, Salmah Sinning dan Penyelaras PPKI, Norsam Raffee @ Ag Besar.

Lawatan murid-murid Tahun Satu aliran Perdana di Dewan SK Pekan Satu, Labuan.

Salmah berkata, program itu untuk membantu murid menghadapi perubahan diri atau transisi daripada pendidikan tidak formal di rumah atau prasekolah ke pendidikan secara formal tahun satu.

Katanya, murid diterangkan mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang hari ketika di dalam dan luar kelas.

Program Transisi Tahun Satu pupuk semangat setiakawan.

“Mereka diperkenalkan dengan barisan guru Tahun Satu dan lawatan sekitar kawasan sekolah seperti Bilik Komputer, Bilik Guru, Bilik BOSS, Bilik Pemulihan, kantin, dan tandas.

“Guru-guru yang terlibat juga menerangkan tatacara dan peraturan bagi setiap tempat yang dilawati.

“Ice Breaking dijalankan untuk memupuk semangat membuat kerja secara berkumpulan di samping murid mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Murid Tahun Satu gembira mengikuti Program Transisi.

Selain itu, katanya murid Tahun Satu dipupuk semangat untuk hadir ke sekolah dengan aktiviti menyanyikan lagu Rasa Sayang dan Saya Murid Baru.

Program itu, katanya turut melibatkan aktiviti fizikal seperti senamrobik, berbaris di dewan dan menyanyikan lagu Negaraku dan lagu Wilayah Persekutuan ‘Maju Sejahtera’.

“Murid-murid juga diterangkan mengenai adab ketika hendak ke tandas dan waktu rehat.

“Mereka diminta untuk membaca dialog yang disediakan oleh guru dan guru bersoal jawab dengan murid bagi menguji kefahaman murid mengenai mengapa perlunya bersopan.

“Di samping itu, murid Tahun Satu diperkenalkan dengan tema kesihatan. Contohnya, mereka diberikan aktiviti mewarna peralatan-peralatan membersihkan diri seperti berus gigi, syampu dan sabun mandi,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pekan Satu, Anita Shyamini AP S Azman, berkata program itu tetap menitikberatkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga sekolah terutamanya guru-guru yang terlibat menjalankan Program Transisi Tahun Satu kerana bersama-sama melaksanakan program dengan jayanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|