Sabah FC teruskan misi kekalkan momentum kemenangan

Sabah FC teruskan misi kekalkan momentum kemenangan

Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berharap pasukannya dapat mengulangi kejayaan menundukkan Melaka United FC dalam aksi Liga Super malam tadi apabila menentang Sarawak United FC di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu ini.

Beliau berkata, kejayaan pertama bermain di gelanggang lawan malam tadi cukup menggembirakan yang diterjemahkan menerusi keupayaan semua pemain skuad Sang Badak mengekalkan prestasi terbaik sepanjang perlawanan di Stadium Hang Jebat itu.

Katanya, walaupun mengharungi perlawanan dalam bulan Ramadan, pemain Sabah FC masih dapat menunjukkan permainan yang berkualiti tinggi.

“Pertama saya ingin lihat tahap kecergasan pemain selepas perlawanan malam tadi. Kita masih mempunyai baki empat hari sebelum menentang pasukan Sarawak United di samping memikirkan faktor penerbangan yang menyebabkan pemain akan mengalami keletihan.

“Mereka berpuasa pada siang hari tetapi tetap memberikan sepenuh komitmen. Ini penting untuk kita meneruskan rentak mencapai keputusan positif ketika bertemu Sarawak atau mana-mana perlawanan nanti,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini.

Sabah FC membawa pulang tiga mata selepas menundukkan Melaka United FC 1-0 menerusi pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu pada minit ke-25 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Mengulas mengenai tahap kecergasan pemain Sabah FC, Kim Swee berkata, ketika ini beliau memiliki 25 pemain bersedia menggalas tugas untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama sekiranya ada pemain utama tidak dapat diturunkan akibat faktor kecerderaan.

Beliau menjelaskan, apa yang penting pemain harus bersiap sedia dan mengekalkan tahap kecergasan ketika berpuasa.

“Faktor mengamalkan pemakanan juga perlu diutamakan kerana jika tidak, sudah tentu akan mengganggu tahap persembahan untuk bermain dalam tempoh 90 minit,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Melaka United malam tadi, Kim Swee berkata, beliau berpuas hati dan memuji komitmen tinggi anak buahnya hingga berjaya mengutip tiga mata pertama ketika bermain di laman lawan.

“Kita tahu pasukan Melaka United FC adalah satu pasukan yang baik dan ia dapat dilihat pada separuh masa pertama mereka sentiasa memberi tekanan.

“Pada masa sama Sabah FC juga melepaskan beberapa peluang keemasan apabila tidak berjaya disempurnakan sehingga keadaan itu berlarutan pada separuh masa kedua,” katanya.

Melaka United FC banyak melakukan penukaran pemain sepanjang perlawanan dalam usahanya selaku pasukan tuan rumah memburu kemenangan selain memberikan tentangan sengit kepada Sabah FC selaku pasukan pelawat.

Kim Swee berkata, Sabah FC menurunkan lima pemain importnya di samping pemain lain bagi menghalang usaha Melaka United yang memerlukan kemenangan pertama di laman sendiri.

Secara keseluruhan, katanya beliau berpuas hati terhadap mutu persembahan anak buahnya kerana menunjukkan semangat kerja secara berpasukan selain turut mempamerkan permainan yang memberangsangkan.

“Semua pemain sudah melakukan tugas yang diarahkan selain beberapa pemain lain juga dilihat memberikan persembahan ataupun komitmen sangat baik.

“Dalam bola sepak bukan hanya bergantung kepada satu atau dua orang tetapi untuk memenangkan pasukan, komitmen semua pemain sangat dituntut. Justeru mereka perlu bersiap sedia mencapai keputusan positif menentang Sarawak United pada 9 April ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|