RM18.2 juta peruntukan bina semula rumah, infrastruktur mangsa kebakaran di Tawau dan Semporna

RM18.2 juta peruntukan bina semula rumah, infrastruktur mangsa kebakaran di Tawau dan Semporna

Tawau: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan peruntukan RM18.2 juta untuk membina semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran pada 17 Mac lalu, di sini dan pada 2015 di Semporna.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berlata lebih 1,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran di kedua-dua lokasi terbabit akan mendapat manfaat daripada peruntukan berkenaan.

Hajiji menyampaikan replika cek RM10 juta kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang untuk membina semula rumah mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, Tawau.

Beliau berkata, daripada RM18.2 juta peruntukan itu, sebanyak RM10 juta akan
diperuntukkan kepada 608 KIR rakyat tempatan di Tawau untuk membina semula rumah mereka.

“Sebanyak RM8.2 juta lagi untuk pelaksanaan segera projek membabitkan kerosakan harta benda dan infrastruktur di Kampung Bangau- Bangau, Semporna,” katanya, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada seorang ketua isi rumah (KIR) yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, Tawau.

Beliau mengumumkan perkara itu pada majlis penyampaian sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 200 KIR yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pembantu Menterinya, Datuk Julita Majungki serta
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Hajiji berkata, baki seramai 408 KIR lagi akan menerima bantuan mereka kemudian dengan setiap KIR akan menerima sumbangan sebanyak RM500.

“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib mereka yang dalam kesusahan dan sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya yakin bantuan ini dapat melegakan mereka yang terjejas,” katanya.

Kebakaran di Kampung Kurnia Jaya menjejaskan seramai 608 keluarga tempatan yang terdiri daripada 3,012 orang mangsa.

Kebakaran itu memusnahkan sebanyak 591 rumah, manakala sebanyak 300 rumah musnah dalam kebakaran di Semporna yang menjejaskan 3,000 orang penduduk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|