Kota Kinabalu: Empat rumah dan lima kenderaan terbakar dalam kejadian di Kampung Suok Batu, berhampiran Cyber City, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 6.30 pagi itu, semua rumah berkeluasan keseluruhan 222 meter persegi dan kenderaan yang terlibat musnah sepenuhnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 6.37 pagi.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, api sudah membakar sebahagian besar rumah yang terlibat dan operasi pemadaman segera dijalankan.
“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 65 meter dengan tiga pancutan dari jentera Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman juga dibantu jentera BBP Penampang yang menggunakan satu aliran sepanjang 100 meter dengan dua pancutan.
Katanya, tindakan pantas pasukan bomba turut berjaya menyelamat dua rumah berhampiran dan tiada sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan empat keluarga membabitkan 23 mangsa yang terjejas akibat kebakaran itu dipindahkan ke Dewan Kivavang, Kepayan.
“Api kebakaran berkenaan dikawal pada jam 7.06 pagi dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka