Lelaki warga asing dihukum gantung sampai mati miliki dadah

Lelaki warga asing dihukum gantung sampai mati miliki dadah

Tawau: Seorang lelaki warga asing dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis Methamphetamine tiga tahun lalu, di Mahkamah Tinggi Tawau, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Benhar Hussin, 33 selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh hadir di mahkamah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Mengikut pertuduhan, Benhar didakwa memiliki dadah seberat 52.13 gram Methamphetamine di kawasan perkarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada jam 8.30 malam,14 Januari 2018.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Benhar ditahan pasukan polis selepas melarikan diri kerana terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang digunakan tertuduh menemukan dadah jenis Methamphetamine seberat 52.13 gram yang dipercayai milik tertuduh.

Dalam prosiding penghakiman itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain, manakala tertuduh diwakili peguam, Victor Chee.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|