Kota Kinabalu: Sebanyak 10 kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam ‘Op Putus Khas’ yang dijalankan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di City Mall, di sini, Selasa lalu.
Operasi bermula jam 2.30 petang itu dilaksanakan sepasukan Jabatan Penguatkuasaan (JP) dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, semua kompaun berkenaan dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Seksyen 25 Akta 342 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, ia atas kesalahan kegagalan mendaftar masuk ke premis sama ada menggunakan Mysejahtera atau buku pendaftaran.
“Ops yang diketuai Timbalan Pengarah JP, Fohny Garampang ini bertujuan untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan berkenaan.
“Seramai 240 orang pelanggan dan 95 orang pekerja diperiksa membabitkan sebanyak 44 premis perniagaan dan makanan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Noorliza berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan dua kompaun mengikut Undang-Undang Kecil DBKK.
“Sehubungan itu, semua operator premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa patuh terhadap SOP yang dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya.
-Deasoka