Kanak-kanak cilik ‘mengalai’ di depan rumah jadi tumpuan

Kanak-kanak cilik ‘mengalai’ di depan rumah jadi tumpuan

Sandakan: Baru berusia lapan tahun namun kebolehan anak jati Kampung Pulau Berhala ini tidak dapat dinafikan apabila berjaya membuatkan orang ramai terpukau melihatnya ‘mengalai’ ketika mempersembahkan tarian Igal-Igal di pekarangan rumahnya, baru-baru ini.

Berkebolehan mengalai sejak berusia empat tahun menyebabkan Siti Nurmainah Dansi tidak kekok dan segan silu menunjukkan bakatnya kepada orang ramai.

Min Yasmin bersama kanak-kanak turut serta mengalai ketika berkunjung ke Kampung Pulau Berhala, Sandakan.

Ketika ditemui, Siti Nurmainah bersama rakan-rakannya berjaya mencuri tumpuan rombongan wartawan dari Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur bersama penyanyi Min Yasmin dan komposer terkenal Julfekar yang juga suaminya, berkunjung ke kampung itu.

Semakin mendapat tepukan gemuruh dan wang kertas diselitkan disebalik jarinya, semakin kanak-kanak cilik itu menunjukkan bakatnya dan fokus kepada lenggok tarian yang dipersembahkan.

Siti Nurmainah menunjukkan bakatnya mengalai ketika menari tarian Igal-Igal di hadapan pekarangan rumahnya di Kampung Pulau Berhala, Sandakan.

Menurut ibunya, Aymunah Aramel, 29, anak sulungnya itu meminati tarian Igal-igal sejak dari kecil lagi dan dididik bukan hanya sekadar hobi tetapi juga seperti satu kewajipan untuk tahu mengalai terutama bagi golongan wanita.

“Sudah menjadi rutin setiap petang bermula jam 3 petang, kanak-kanak akan berkumpul dan mengalai di pekarangan rumah kami.

“Muzik akan dipasang dengan kuat dan mereka akan beramai-ramai mengalai sebagai cara mereka berlatih tarian itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di kampung berkenaan.

Sementara itu, Min ketika ditemui berkata, dia sudah biasa dengan persekitaran seperti di kampung di Pulau Berhala kerana keadaannya hampir sama ketika beliau berada di Filipina ketika membuat persembahan di sana.

“Ini perkara biasa bagi Min kerana di Filipina pun sama saja. Di Sabah sendiri, terutama di Semporna mereka juga terkenal dengan tarian Igal-Igal dan mengalai.

“Jadi apabila Min lihat kanak-kanak mengalai, automatik Min pun mahu mengalai bersama mereka,” katanya yang mesra kepada sesiapa saja termasuk peminat yang mengenalinya dengan lagu-lagu berbahasa Tagalog dan Suluk.

Tarian Igal-igal adalah salah satu tarian etnik Bajau Suluk di negeri ini dan turut terkenal di beberapa daerah termasuk Semporna dan Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|