RM164.12 juta untuk pembangunan pendidikan dan agama pada tahun ini

RM164.12 juta untuk pembangunan pendidikan dan agama pada tahun ini

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM164.12 juta untuk melaksanakan program pembangunan pendidikan dan agama menerusi Belanjawan Negeri pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dana itu disalurkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan dan badan agama serta pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia, peruntukan itu memberi manfaat kepada semua agama dan kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian bantuan kewangan kepada sekolah vernakular dan mubaligh, gereja serta kuil bagi tahun 2021 dan penyerahan kepala singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, pada tahun ini kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM47 juta iaitu yang terbesar untuk badan agama bukan Islam dan sekolah vernakular, mubaligh serta sekolah persendirian.

“Jumlah itu adalah yang terbesar pernah diluluskan oleh kerajaan Sabah dan ini mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk memastikan kebajikan semua kaum dan agama di Sabah terjaga,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1 juta untuk kepala singa yang akan diagihkan kepada pelbagai persatuan dan kumpulan Tarian Singa sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negeri.

“Penyampaian bantuan kewangan dan kepala singa jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk melaksanakan dasar yang adil dan saksama dalam semua aspek,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menyedari kepentingan institusi pendidikan dan badan agama dalam melahirkan rakyat yang berilmu serta menyemai nilai-nilai murni dan positif yang mampu memacu pembangunan negeri.

Tahun lalu, katanya kerajaan negeri memperuntukkan RM43 juta untuk badan agama bukan Islam, sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah persendirian di Sabah.

Dalam tempoh sama, beliau berkata kerajaan negeri turut meluluskan RM24.99 juta untuk pembinaan dan pembaikan rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|