Perbuatan tipu sijil vaksin amat dikesali – Masidi

Perbuatan tipu sijil vaksin amat dikesali – Masidi

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyatakan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak di negeri ini yang sanggup menipu untuk mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, turut menyifatkannya sebagai perbuatan sabotaj terhadap usaha memerangi pandemik berkenaan.

Beliau berkata, perbuatan itu adalah sesuatu yang sangat tidak wajar terutama ketika rakyat berdepan dengan ancaman virus Covid-19.

Katanya, lebih dikesali apabila ada pihak tertentu mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menawarkan skim penipuan menerusi sindiket bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi kepada mereka yang enggan divaksin.

“Ini sesuatu yang amat kita kesali. Ketika kita berhadapan dengan satu penyakit yang cukup berbahaya tetapi masih ada orang yang terfikir untuk menipu.

“Bagi saya, mereka yang berbuat begitu sesuatu yang kita boleh anggap sebagai tindakan sabotaj terhadap usaha untuk memerangi Covid-19,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan bantuan kewangan kepada institusi pendidikan dan keagamaan bukan Islam Sabah, di sini, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kewujudan sindiket penipuan bagi mendapat sijil vakisnasi COVID-19 di Sabah.

Ia berikutan penahanan seorang lelaki yang didakwa merasuah sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini untuk mendaftarkan sijil digital vaksinasi COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera untuk individu yang belum divaksin.

Lelaki terbabit direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Masidi berkata, pihaknya menyerahkan kepada agensi penguatkuasa untuk menyiasat dan membawa dalang sindiket berkenaan ke muka pengadilan.

“Tapi harapan saya ialah ini lebih kepada seruan untuk mereka yang terbabit menghentikan semua kerja (penipuan) yang hanya merugikan rakyat negeri itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi mengulangi nasihatnya kepada rakyat negeri ini yang belum divaksin supaya mendapatkan vaksin untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

Jelasnya, vaksinasi Covid-19 berjaya menurunkan kadar kematian disebabkan jangkitan virus berkenaan berdasarkan bukti statistik kematian yang tinggi sebelum vaksinasi dilaksanakan dan menurun selepas vaksinasi mencapai tahap yang disasarkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|