Elakkan aktiviti berbahaya berhampiran talian elektrik

Elakkan aktiviti berbahaya berhampiran talian elektrik

Kota Kinabalu: Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh membahayakan diri serta menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Idris Mohd Noor berkata, sebarang aktiviti yang dilakukan di bawah atau berhampiran tiang dan talian pembahagian elektrik bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.

Katanya, antara aktiviti berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam dan bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian elektrik.

“Selain itu, kegiatan mencuri atau penyambungan bekalan elektrik secara haram serta menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam turut membahayakan keselamatan.

“Semua pencawang dan perpasangan elektrik adalah kawasan berisiko renjatan elektrik dan apa jua aktiviti yang dilakukan berhampiran dengannya boleh mengundang bahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media berikutan beberapa kejadian renjatan yang berlaku baru-baru ini dan melibatkan kehilangan nyawa orang awam.

Idris berkata, semua aktiviti sedemikian boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa.

Sementara itu, Idris berkata, pihak SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran mengenai keselamatan elektrik.

Katanya, hebahan langkah-langkah keselamatan dijalankan menerusi media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat.

Sehubungan itu Idris berkata, SESB memohon jasa baik semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB sebelum sebarang tindakan diambil.

“Orang ramai boleh membuat pertanyaan mengenai keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti yang ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti membahayakan berhampiran pepasangan elektrik SESB.

“Ia termasuk berkenaan dengan kejadian tiang tumbang atau sebarang masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|