PBRS tuntut agihan kerusi yang adil

PBRS tuntut agihan kerusi yang adil

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini menuntut agihan kerusi yang adil daripada kepemimpinan Barisan Nasional (BN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Richard Kastum, berkata PBRS bukan lagi parti yang kecil seperti yang dianggap sebelum ini.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PBRS yang diadakan hari ini memutuskan meminta pucuk pimpinan BN memberi agihan kerusi yang adil untuk ditandingi pada PRU-15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak, PBRS berjaya menarik kemasukan beramai-ramai pemimpin kanan parti lawan.

Katanya, PBRS turut menerima permohonan ribuan keahlian baharu untuk menyertai PBRS, menjadikan keahlian parti itu meningkat berkali ganda.

“Jumlah bahagian PBRS juga terus bertambah dengan hampir setiap DUN sudah mempunyai bahagian PBRS ketika ini,” katanya.

Richard berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PBRS hari ini juga memutuskan untuk menghantar rombongan parti itu bagi mengadakan perbincangan dan menyampaikan suara pemimpin serta penyokong akar umbi kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“PBRS sebagai satu-satunya parti tempatan dalam komponen BN wajar diberi peluang dengan agihan kerusi yang lebih adil,” katanya.

Ketika ini, PBRS hanya menyandang kerusi Parlimen Pensiangan yang diwakili Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Timbalan Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|