Yayasan Sabah, G Capital jalin usahasama bina hidroelektrik kecil

Yayasan Sabah, G Capital jalin usahasama bina hidroelektrik kecil

Kota Kinabalu: Yayasan Sabah hari ini menandatangani perjanjian usahasama dengan G Capital Berhad bagi penghasilan tenaga boleh diperbaharui melalui pembangunan loji janakuasa hidroelektrik kecil.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan antara penyelesaian holistik terhadap kekurangan bekalan kuasa di negeri ini dengan memanfaatkan iklim dan sungai.

Menurutnya, peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah sejajar dengan polisi dan Matlamat Pembangunan Mampan kerajaan persekutuan, serta satu daripada tiga teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), iaitu infrastruktur hijau dan rangkaian kemampanan.

“Saya yakin perjanjian usaha sama ini akan menyumbang kepada bekalan kuasa yang stabil kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan menarik pelaburan berkualiti.

“Penjanaan tenaga hijau seperti loji kuasa hidroelektrik kecil akan menarik lebih banyak pelabur, khususnya mereka yang mengutamakan tenaga hijau dan persekitaran, sosial dan tadbir urus,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama dan Pemegang Saham di antara Yayasan Sabah dan G Capital Berhad, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi tempatan, selain memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kerjaya profesional.

“Malah, Parlimen baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Boleh Diperbaharui (Pindaan) 2022 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 yang membuka jalan untuk penetapan Suruhanjaya Tenaga Sabah sendiri untuk menguruskan bekalan kuasa negeri sepenuhnya.

“Pencapaian bersejarah ini akan membolehkan Sabah mendapat kawalan penuh ke atas pengurusan bekalan kuasanya, termasuk perancangan pengedaran kepada lebih banyak isi rumah serta kawasan komersil. Ini adalah langkah utama ke arah mencapai objektif Pelan Pembangunan SMJ,” katanya.

Tambah beliau, Kabinet Negeri akan terus menyokong cadangan projek yang memanfaatkan negeri dan rakyatnya.

Sehubungan itu, di bawah perjanjian itu, beberapa loji kuasa hidroelektrik kecil akan dibina dengan kapasiti kuasa keseluruhan 65 megawatt (MW).

Sementara itu, Pengerusi Innoprise Synergy Sdn Bhd, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, pihaknya telah membuat penilaian awal di beberapa lokasi sekitar Sabah.

“Antara lokasi tersebut termasuk Sg Bayoyo, Sg Rayoh, Sg Mokodou, Sg Wariu dan Sg Panatara dengan anggaran jumlah kapasiti 65MW.

“Berdasarkan kajian awal, sungai-sungai tersebut adalah amat sesuai untuk pembangunan loji kuasa hidroelektrik kecil,” katanya.

Tambah beliau, struktur loji kuasa hidroelektrik kecil tidak memerlukan empangan yang besar, reka bentuk biasanya mengikuti bentuk tanah tapak projek dengan penggunaan tenaga graviti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|