Wanita UMNO ketuai jentera PRU-15 Parlimen Beaufort

Wanita UMNO ketuai jentera PRU-15 Parlimen Beaufort

Beaufort: Wanita UMNO bahagian Beaufort bersedia menggalas tanggungjawab sebagai komandan atau ketua jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 ).

Ketuanya, Datuk Siti Aminah Aching, berkata persediaan pergerakan itu sudah dibuat lebih awal melalui pelbagai program mendekati rakyat yang menjadi kekuatannya.

Aminah menyampaikan cendera kenangan Amuilin Junsin pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Beaufort.

“Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah mengamanahkan tugas serta tanggungjawab kepada kita sebagai komandan jentera PRU.

“Kita memang sudah bersedia pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Beaufort di Dewan Masyarakat Pa’ Musa, di sini, Sabtu lalu.

Aminah mengiringi ketibaan Awang Aslee yang merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Beaufort.

Mesyuarat itu dirasmikan Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat dan turut dihadiri Wakil Perhubungan UMNO Sabah, Amuilin Junsin.

Ketika diajukan soalan sekiranya UMNO Barisan Nasional (BN) diberikan peluang untuk mewakili kawasan berkenaan pada PRU kali ini, Aminah berkata ia lebih memudahkan gerak kerja jentera Wanita yang diketuainya.

Ia kerana katanya, sebanyak 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu masing-masing 12 di DUN Kuala Penyu dan 12 di DUN Klias sudah dibentuk dan digerakkan sejak tahun lalu dan kini dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU-15

“Kita telah bersedia sepenuhnya dan jentera Wanita begitu komited dalam melaksanakan tugasan yang diberikan dan kita telah memperkemaskan strategi di setaip PDM,” katanya.

Mengenai ketetapan Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk memastikan 30 peratus calon pada PRU kali ini adalah wanita, Aminah berkata ia satu langkah progresif dan dinamik bagi memastikan suara wanita diangkat dalam membuat keputusan merangka dasar dan menjadi wakil rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|