Wetrom tolak WARISAN, masuk KDM

Wetrom tolak WARISAN, masuk KDM

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda dipercayai memohon menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), semalam.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi yang mengatakan beliau mahu menyertai Parti Warisan (WARISAN) selepas disahkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Sabtu lalu.

Datuk Wetrom Bahanda.

KDM adalah parti bersekutu atau mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai bekas Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony.

Difahamkan Wetrom yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri mengisi borang permohonan menyertai KDM dengan disaksikan sendiri oleh Peter.

Perkara itu disahkan sumber yang terdekat dengan KDM berdasarkan dua gambar yang menunjukkan Wetrom mengisi borang keahlian KDM dan bersama dengan Peter.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai Wetrom yang dikatakan keluar BERSATU untuk menyertai WARISAN berdasarkan gambar yang menunjukkan beliau menghadiri program anjuran parti itu di Matunggong, Kudat pada Sabtu lalu.

Beliau turut dilihat berjumpa dengan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada program ‘walkabout’ parti itu di Tamu Jalan Gaya, di sini pada Ahad lalu.

Ketika ditanya media, Mohd Shafie menjelaskan WARISAN mengalu-alukan jika Wetrom berhasrat menyertai WARISAN namun mengakui parti itu tidak dapat menawarkan apa-apa kerana bukan parti memerintah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam turut memberitahu media yang beliau tidak tahu sama ada Wetrom menyertai WARISAN atau tidak kerana tiada sebarang pengumuman mengenainya setakat ini.

Bagaimanapun, sebelum ini Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan Wetrom keluar daripada BERSATU.

Tindakan itu dikatakan berpunca daripada hasratnya mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kerusi Parlimen Kota Marudu yang diperuntukkan kepada rakan BERSATU dalam GRS, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS).

Masidi turut mengesahkan empat lagi ADUN GRS yang ditularkan bakal mengikut jejak Wetrom iaitu Datuk Ruddy Awah (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) dan Datuk Rubin Balang (Kemabong) kekal setia bersama GRS.

Wetrom sebelum ini turut dikhabarkan akan mengadakan sidang media mengenai apa yang berlaku pada minggu ini, namun belum ada sebarang perkembangan mengenainya setakat ini.

Hantaran mesej dan panggilan untuk mendapatkan komen beliau juga setakat ini tidak berhasil.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|