Sandakan: Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah ini berjaya menembak seekor buaya jantan dalam satu operasi di Sungai Daling, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 7 malam itu, reptilia sepanjang 2.4 meter itu diburu selepas dikatakan sering mengganggu penduduk sekitar.

Pegawai JHL Sandakan, Hussien Muin berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, pasukan JHL terus menjalankan operasi memburu haiwan berkenaan yang dibimbangi boleh mengancam keselamatan orang ramai terutamanya nelayan.
“Mengikut maklumat diterima, penduduk melaporkan sering melihat buaya di jeti sungai berkenaan.
“Pasukan operasi kemudiannya memasang jerat di sungai terbabit sebelum berjaya menembak haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melupuskan bangkai hidupan liar berkenaan dengan kaedah dikuburkan.
-Deasoka